HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

Anwar hanya tahu perlekeh, kata Syed Ali

MALAYSIAKINI


 


Pemimpin Pakatan Rakyat terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tahu mengkritik usaha kerajaan menangani masalah banjir dan tidak pun turun padang membantu, kata pemimpin Umno Wilayah Persekutuan.

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pemimpin pembangkang hanya sibuk mempertikaikan perkara lain seperti penggunaan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kampit beras yang diagihkan.

“Itu bukan isu, tak ada salahnya jika kerajaan berbuat demikian, lagi pun memang patut untuk beritahu rakyat terutama di Kelantan bahawa kerajaan BN sentiasa bersama mereka sama ada sewaktu masa senang dan susah,” tegasnya setiausaha Umno dan BN Kuala Lumpur itu.

Anwar (kanan) kelmarin menggesa agar diluluskan peruntukan segera untuk makanan dan ubat-ubatan, terutama untuk kawasan-kawasan kritikal.

Beliau juga mengusulkan supaya Pusat menyediakan rancangan menyeluruh untuk memperbaiki atau membangunkan semula rumah yang musnah akibat banjir yang melanda beberapa negeri di semenanjung Malaysia.

Beliau bagaimanapun menggesa semua pihak bertindak dalam satu pasukan dan menyokong langkah kerajaan membantu lebih 200,000 mangsa banjir di negeri terjejas.

Menurut blog Umno Cheras hari ini, Syed Ali juga dilapor menyifatkan Anwar sebagai “memperbodohkan rakyat dengan pelbagai janji” sedang beliau dikatakan berada di luar negeri ketika kejadian.

“Kalau Najib boleh pendekkan percutiannya dan bergegas pulang bertemu rakyat, mengapa pula Anwar atau (Presiden PKR Datuk Seri) Wan Azizah (Ismail) tidak sanggup berbuat demikian, ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan agenda peribadi,” tegasnya.

Kesal maklumat palsu

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali juga kesal terhadap segelintir pihak menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir menerusi laman sosial sehingga mencetuskan keresahan.

“Ini bukannya waktu untuk bersuka ria atau berseronok, banjir adalah mala petaka yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda, kita sepatunya prihatin dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukannya,” ujarnya.

Tiada ulasan: