HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Februari 2015

Kesian...Tak Habis-Habis Najib Kena Tolak!!

shahbudindotcom

Ketika majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Najib Razak telah ditolak (disenggol) dengan kuat oleh isterinya, Rosmah Mansor sehingga insiden itu menjadi viral di media-media sosial.

Rosmah dianggap tidak wajar berbuat demikian kepada suaminya yang juga Perdana Menteri, lebih-lebih lagi di acara penting yang melibatkan tetamu kenamaan daripada seluruh dunia itu.

Tetapi dalam minggu lalu, Najib terus menerima tolakan yang berterusan lagi.  Ketika harta peninggalan Tun Razak cuba dikaitkan dengan perbelanjaan mewah keluarga Najib, terutama melibatkan isterinya Rosmah dan anak tirinya Reza Aziz, keempat-empat adik Najib tampil dengan kenyataan bersama menolak tanggapan sedemikian.

Mereka menyatakan, Tun Razak terkenal sebagai pemimpin yang berintergriti tinggi serta berjimat cermat sepanjang kehidupannya dan spekulasi mengenai harta peninggalan bapa mereka yang dikaitkan dengan kemewahan adalah tidak wajar sama sekali.

Setelah ditolak (disenggol) oleh isterinya, Najib ditolak pula oleh keempat-empat adik-beradiknya.

Pada Rabu lalu pula, mesyuarat kabinet menolak suntikan modal sebanyak RM3 bilion lagi kepada 1MDB berikutan ramai ahli kabinet tidak bersetuju dengannya.

Jika berita ini benar dan ia juga belum dinafikan lagi oleh kerajaan sehingga kini, ia juga bermaksud penolakan sebahagian menteri-menteri kabinet terhadap Najib sendiri.

Ini kerana 1MDB adalah syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib dan menjadi anak emasnya selama ini. Syarikat itu diletakkan dibawah Kementerian Kewangan di mana Najib juga adalah Menteri Kewangan, selain sebagai Perdana Menteri.

Penolakan ini sebenarnya amat memalukan Najib kerana beliau seolah-olah sudah ditolak dan tidak dipercayai lagi oleh menteri-menteri kabinet yang dilantiknya sendiri.

Jika di negara lain atau Najib seorang pemimpin yang bermaruah dan berintergriti, episod penolakan oleh ahli-ahli kabinet ini seharusnya menyebabkan beliau berasa malu untuk terus mengempuki kerusi Perdana Menteri yang didudukinya sekarang.

Semalam pula, kajian oleh Merdeka Center mendapati penolakan rakyat semakin tinggi terhadap kepimpinan Najib dengan hanya tinggal 44 peratus saja lagi berbanding 48 peratus sebelum ini.

Setelah ditolak (disenggol) isteri, ditolak oleh adik-beradik dan ditolak oleh menteri-menteri kabinet, Najib juga ditolak oleh majoriti rakyat yang makin tidak berselera dengan kepimpinannya.

Maknanya, dalam waktu terdekat ini sudah ada empat kes penolakan diterimanya.

Jika mengikut kepercayaan orang Cina pula, angka 4 bermakna "mati". Dalam episod kena tolak ini, Najib telah disasar tiga kali dengan angka 4 iaitu oleh empat adik-adik beradiknya, penolakan rakyat yang menjadikan sokongannya hanya tinggal 44 peratus dan empat kes penolakan dalam waktu terdekat ini.

Seorang rakan Cina berkata, ia dengan itu bermaksud "mati-mati" atau akan "mati"  dengan perlahan-lahan.

Kesian Najib...tak habis-habis kena tolak. Mungkinkah "matinya" juga sudah semakin hampir?

Azmin Serah Kepada Agong Buat Keputusan

RAKYATNEWS


alt



SHAH ALAM  - Terserah kepada ‘kebijaksanaan’ Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk membuat keputusan berikutan petisyen yang dihantar oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pengampunan diraja, kata Timbalan Presiden PKR, Muhammed Azmin Ali.

Beliau yang ketika ditemui pemberita hari ini menjelaskan keputusan tersebut harus dibuat dengan professional bagi mendapatkan keadilan terhadap Anwar.

“Itu serah kepada kebijaksanaan Yang di Pertuan Agong untuk menjawab, kita mengemukakan petisyen dan Jawatankuasa Pengampunan perlu menyiapkan kertas maklumbalas yang adil dan professional utnuk lihat kes ini secara adil supaya keadilan dapat diberikan kepada Datuk Seri Anwar,” kataya.

Beliau berkata demikian dalam program Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Penyampaian Notis 5A di Sungai Buloh, Sabtu.

Mengulas lanjut isu berkenaan katanya, tindakan mengemukakan petisyen adalah dibolehkan dalam perlembagaan sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi tidak semestinya tepat.

“Itu dibolehkan dalam perlembagaan, bila berlaku kerosakan dalam sistem kehakiman dan kita yakin tak ada keadilan diberikan kepada tertuduh.

“Kita ada hak dalam perlembagaan, kalau Mahkamah Tinggi jatuhkan hukuman, tak semestinya dia bersalah, kita ada Mahkamah Rayuan, ada Mahkamah Persekutuan, kemudian ada lagi petisyen, ini adalah proses yang perlu kita hormati,” ujarnya lagi.

24 Februari lalu, keluarga Anwar telah menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar yang juga Ahli Permatang Pauh untuk daripada hukuman penjara selama lima tahun.

Pahang Timbang Wujud Biro Khas Kaum Cina, India

RAKYATNEWS


alt


 
KUANTAN  - Kerajaan Negeri Pahang bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan Biro Khas bagi Menjaga Kebajikan Kaum Cina dan India di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Katanya perkara itu akan diketengahkan pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri  akan datang untuk dibincangkan dan perlu mendapatkan perkenan Sultan Ahmad Shah, sebelum penubuhannya diumumkan secara rasmi.

"Di Pahang kita tidak mempunyai Exco daripada kaum Cina dan India, jadi agak susah untuk kita dalam isu khusus yang melibatkan kaum-kaum ini, termasuk perihal berkaitan kebajikan," katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Perayaan Tahun Baharu Cina 2015 anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Tionghua Kuantan di Dewan Sukpa di sini, Sabtu.

Walaupun belum mempunyai biro khas, Adnan berkata kebajikan kaum Cina dan India di Pahang tidak pernah diabaikan kerana kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pemimpin daripada kaum berkenaan.

Selain itu, Adnan juga berharap semua rakyat negeri ini untuk memainkan peranan masing-masing memelihara perpaduan dan membangunkan ekonomi negeri dalam keadaan ekonomi yang dijangka mencabar tahun ini.

Bagaimanapun katanya:"Dengan ketibaan Tahun Kambing kali ini, kita harap kedudukan ekonomi juga akan bertambah baik, seperti kepercayaan masyarakat Cina bahawa Tahun Kambing melambangkan keuntungan, perdamaian dan kemakmuran."

Sementara itu, berkaitan isu Cameron Highlands, Adnan berkata kerja penanaman semula pokok-pokok yang sesuai akan dilakukan selepas operasi penguatkuasaan selesai.

"Pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada penanam sayur kecil-kecilan yang memang menyara keluarga dengan bertani juga akan diberikan selepas tamat operasi melibatkan tanah yang sesuai sahaja," katanya.

Pelakon kagum dengan 'bakal menantu PM'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pelakon tempatan, Mohamed Hadi Putera Halim berkata, beliau telahpun bertemu dengan anak pembesar Kazakhstan, Daniyar Kesikbayev yang disebut-sebut sebagai bakal menantu perdana menteri Malaysia.

Mohamed Hadi yang popular dengan nama Adi Putra berkata beliau bertemu dengan Daniyar ketika kedua-duanya melawat sebuah rumah jagaan orang tua di Puchong, kelmarin.

Hadi turut memuatkan gambar beliau dan Daniyar di Instagram, dan menyatakan rasa terkejut dengan pertemuan itu.

"Tidak sangka, dapat juga dipertemukan dengan kehadiran Daniyar Kesikbayev, bakal menantu perdana menteri kita yang turut membuat lawatan.

"(Orangnya) rendah diri dan tidak menonjol (dan) mempunyai sifat prihatin kepada masyarakat.

“Saya mendoakan agar majlis perkahwinannya dipermudahkan yang bakal berlangsung, agar diberkati dan dirahmati Allah," kata Adi, 34 dalam kapsyen gambar tersebut.

Ditanya sama ada pertemuan itu dirancang atau secara kebetulan, Adi membayangkan bahawa pertemuan di rumah orang tua Al-Ikhlas itu berlaku secara tidak sengaja.

"Saya terjumpa (Daniyar)", katanya kepada Malaysiakini.

Gambar yang dikongsikannya itu menunjukkan Daniyar yang berbaju putih bergambar bersama Adi dan pemilik rumah jagaan tersebut.

Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bersama Daniyar kini diperkatakan di kalangan pengguna Internet.

Spekulasi itu bertiup kencang selepas gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka tersebar di media sosial.

Kad jemputan itu menyatakan bahawa perkahwinan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 28 Mac.

Sementara itu, bekas ahli majlis tertinggi Umno yang enggan disiarkan namanya memberitahu Malaysiakini, beliau masih belum menerima sebarang jemputan berkaitan majlis perkahwinan antara Nooryana dan Daniyar.

Ketika ditanya sama ada majlis itu akan diadakan pada 28 Mac depan, beliau hanya berkata "saya dengar begitu".
 

Pelancaran buku kartun ROS gagalkan lagi

MALAYSIAKINI


 


Pihak polis sekali lagi cuba untuk menangkap kartunis Zunar, kali ini berhubung kartun politiknya bertajuk 'Ros in Kangkung Land'.


Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, berkata sekumpulan 20 anggota polis dari Balai Polis Brickfields "mengugut" untuk menangkap beliau hari ini.

Kartunis itu berada di pelancaran semula buku tersebut di Brickfields pagi ini apabila polis muncul.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata polis memberitahunya mereka mahu menangkapnya dan merampas bukunya kerana acara itu tidak mempunyai permit.

Kartunis itu berkata polis memberitahunya bahawa dia akan ditangkap jika meneruskan juga pelancaran buku tersebut.

"Tetapi saya memberitahu mereka tidak ada keperluan untuk mendapatkan permit kerana acara ini diadakan di premis persendirian," katanya.

Zunar juga berkata bukunya tidak diharamkan.

Katanya, beliau akan bercakap dengan peguamnya mengenai tindakan seterusnya kerana beliau akan berlepas ke Geneva pada hari Isnin.

Berikutan kedatangan pihak polis itu, Zunar mengambil keputusan untuk membatalkan acara tersebut.

Buku itu tidak dijual di mana-mana kedai buku, dan ia boleh dibeli www.zunar.my.

Zuhdi: Gerakan jatuhkan Hadi dikesan sejak 1998

MALAYSIAKINI


Gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh kumpulan tertentu dalam parti itu dikesan bermula sejak 1998, kata Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki.
          
Beliau berkata pada 1998, PAS menjadi begitu terbuka menyebabkan kemasukan banyak kumpulan dari luar dan kumpulan berkenaan membentuk pasukan dalam PAS.
           

"Sebelum itu (1998) budaya 'team' tidak ada dalam PAS tetapi ia muncul selepas itu (1998) dan sekarang ini ia menjadi semakin membarah," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Wacana Ilmiah: PAS: Semalam, Hari Ini dan Esok di Pengkalan Chepa di Kota Bharu malam tadi.
          
Ditanya tindakan PAS bagi menyelesaikan isu tersebut, Mohd Zuhdi berpendapat kumpulan berkenaan (tidak menyebut nama kumpulan atau mereka yang terlibat) akhirnya akan keluar daripada PAS untuk membentuk parti baru.
          
"Saya yakin selepas Muktamar PAS 2015 ini akan berlaku dalam PAS iaitu akan ada dua kumpulan dengan satu daripadanya akan berpecah dari PAS dan tubuh parti baru, itulah penyelesaian yang akan menyebabkan PAS kembali kepada suasana harmoni," katanya.
          
Mengenai cabaran lain yang sedang dihadapi PAS, beliau berkata PAS sekarang sedang berhadapan dengan wajah sebenar DAP, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, terutama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
          
"Kita (PAS) perlu hadapi cabaran itu dengan jiwa besar iaitu kita masih melihat ada ruang untuk perkukuhkan hubungan dengan DAP dan (Parti Keadilan Rakyat) PKR tetapi dengan harapan DAP dan PKR faham susur galur pembentukan masyarakat dan negara Malaysia," katanya.  Bernama

Umno: Khairuddin dilucut jawatan kerana muflis

MALAYSIAKINI


 


Umno Pulau Pinang mengesahkan bahawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah dilucutkan jawatannya sebagai naib ketua Umno bahagian Batu Kawan kerana muflis.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Seri Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya menerima salinan surat yang diutuskan oleh ibupejabat Umno Malaysia kepada Khairuddin berhubung perkara itu.

“Pelucutan jawatan beliau adalah selaras dengan Perlembagaan Umno dan  Peraturan-Peraturan Persidangan Umno,” kata Musa dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia juga selaras dengan Perkara 9A (1)(d) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan seorang bankrap yang belum dilepaskan tidak boleh memegang sebarang jawatan di dalam pertubuhan.

"Beliau telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap oleh Mahkamah pada 24 Mei 2014 dan satu laporan mengenai kebankrapan dirinya telah dibuat ke ibu pejabat Umno Malaysia,” kata Musa.

Bagaimanapun, tambahnya, Khairuddin masih kekal sebagai ahli Umno dan masih boleh menghadiri persidangan tahunan di peringkat cawangan yang beliau menjadi ahlinya.

'Tangan tersembunyi mahu guling progresif dalam PAS'

MALAYSIAKINI


 


Kempen bagi pemilihan barisan kepimpinan PAS Jun ini mungkin dilihat persaingan antara golongan konservatif dan pro-reformis dalam parti itu, tetapi seorang pemimpin tertingginya kini mendakwa ia turut membabitkan "kuasa ketiga".

Perwakilan PAS berhimpun setiap dua tahun untuk mengundi memilih barisan kepimpinan baru, dan kempen untuk jawatan biasanya mulai hangat enam bulan lebih awal daripada tarikh muktamar berlangsung.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Mujahid Yusof Rawa mendakwa kempen yang panas menjelang muktamar itu nampaknya didorong oleh apa yang disifatkannya sebagai "struktur yang lebih besar".

Beliau tidak menolak terdapat “tangan tersembunyi” musuh politik PAS, iaitu Umno, di sebalik kempen untuk mencemarkan pemimpin yang dipanggil progresif dalam PAS seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan ahli jawatankuasa pusat, Dr Hatta Ramli.

Mujahid mendakwa kempen tersebut menjadi tidak bersih kerana ia bukan lagi di antara golongan ulama dan progresif dalam PAS.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina oleh biro perpaduan nasional PAS Pulau Pinang di Bayan Lepas malam tadi.

Harga RON95, RON97 dan diesel naik 25 sen

MALAYSIAKINI


 


Selepas harganya menurun sejak beberapa bulan lalu, harga bagi RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 25 sen, berkuatkuasa tengah malam ini.

Mulai 1 Mac, harga baru RON95 ialah RM1.95 seliter, RON97 (RM2.25 seliter) dan diesel (RM1.95 seliter).

“Harga baru ini akan berkuatkuasa  bagi bulan Mac 201,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan, katanya, akan mengikuti perkembangan harga kos produk dan kadar pertukaran matawang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.

Bulan lepas, harga RON95 turun ke paras terendah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009, didorong oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia, yang kini agak bertambah baik.

Harga bahan api tertakluk kepada sistem apungan terurus sejak Disember tahun lalu selepas kerajaan menghapuskan sistem subsidi.

Pada masa itu, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM2.26, RM2.46 dan RM2.23 selitar.

Pada 1 Januari, bagaimanapun, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM1.91, RM2.11 dan RM1.93 seliter dan bulan lepas harganya terus menurun.

Jumaat, 27 Februari 2015

Rosmah Mula Menyusahkan Semua Orang

shahbudindotcom


Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor akan mengadakan majlis kenduri kahwin anak perempuan sulung mereka, Nooryana Najwa pada penghujung Mac depan.

Beberapa majlis  sudah diatur iaitu untuk tetamu diraja, jemputan luar negara, pemimpin kerajaan, korporat, pemimpin dan ahli UMNO serta pengundi di Pekan.

Tetapi kira-kira sebulan sebelum majlis itu berlangsung, perbualan ramai mengenai kekayaan dan sumber kewangan Perdana Menteri dan keluarganya semakin menjadi perbualan, bukan saja dalam negara bahkan sudah merebak seantero dunia.

Ia tidak lagi mengenai kos cat rambut (sebagaimana yang disebut oleh Rosmah walaupun istilah yang sebenarnya ialah mewarnakan rambut) atau upah menempah baju, pemilikan barang kemas, beg tangan atau pembelian hartanah mewah di AS, tetapi kini turut berjangkit kepada isu harta peninggalan Almarhum Tun Razak, bekas Perdana Menteri kedua yang juga merupakan bapa kepada Najib.

Berikutan jawapan Pejabat Perdana Menteri atau PMO kepada New York Times bahawa kekayaan dan perbelanjaan mewah Rosmah sebagaimana yang dihebohkan dalam pelbagai media, sebahagiannya adalah merupakan harta pusaka bapanya, keempat-empat adik Najib lantas mengeluarkan kenyataan bersama menolak tanggapan tersebut.

Keempat-empat adik Najib secara jelas menyatakan bahawa bapa mereka terkenal dengan sifat jimat-cermat dan intergeriti yang tinggi serta melahirkan rasa bimbang mengenai spekulasi harta peninggalan itu.

Jika difahami kenyataan bersama empat adik Najib itu jelas tertumpu kepada semakin meningkatnya pelbagai pendedahan mengenai kemewahan dan gaya hidup yang diamalkan oleh kakak ipar mereka, Rosmah Mansor.

Ini kerana yang ternampak bermewah bukan Najib dan anak-anaknya tetapi lebih melibatkan Rosmah dengan anaknya bersama suami terdahulu, Reza Aziz yang merupakan anak tiri Perdana Menteri.

Sebaliknya anak-anak Najib, sama ada daripada perkahwinan terdahulu atau dengan Rosmah, tidak pula kedengaran mengamalkan gaya hidup mewah dan memiliki hartanah yang mahal-mahal.

Sudah tentu jika segala kemewahan itu dikaitkan dengan harta peninggalan Tun Razak, ia bakal mencemarkan nama baik bekas Perdana Menteri yang juga dikenali dengan Bapa Pembangunan itu.

Jika sebelum ini gaya hidup dan kemewahan Rosmah sudah banyak membimbangkan ramai pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dengan mengatakan seolah-olah mereka ada tugas tambahan untuk mempertahan dan membela isteri Perdana Menteri pula, kini jelas bahawa adik-beradik Najib semakin dibasahi tempiasnya.

Sebelum itu juga rakyat pelbagai lapisan sudah banyak bercakap mengenai kemewahan dan gaya hidup Rosmah berikutan terdedahnya di media satu demi satu mengenai pemilikan atau pembelian barangan mewahnya itu.

Dengan rekod pernah menolak pembinaan kolam renang untuk kegunaan anak-anaknya menggunakan duit kerajaan di Seri Taman atas alasan berjimat cermat dan tidak mahu menyalahgunakan wang kerajaan, apa yang didedahkan melalui pelbagai kemewahan melibatkan Rosmah dan Reza ini secara tidak langsung mampu "membunuh" semua legasi baik Tun Razak dan berlawanan sekali dengan keperibadiannya yang sebenar yang memang menjadi pengetahuan umum selama ini.

Dan menjelang majlis perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah nanti, pastilah sekali lagi isu perbelanjaan dan kemewahan akan berbangkit kembali. Di sana sini ketika ini sudah mula kedengaran sosek-sosek tentang jamuan, perhiasan, cenderahati kepada tetamu, pertukaran langsir, karpet, rombongan ke Kazakhstan dan sebagainya yang melibatkan majlis tersebut.

Sekali lagi, segala kemewahan ini lebih dikaitkan dengan kehendak Rosmah berbanding dengan keinginan anaknya sendiri yang melangsungkan perkahwinan itu.

Apakah jika segala kemewahan itu terdedah nanti, PMO sekali lagi mengaitkannya sebagai perbelanjaan peribadi Najib yang sebahagiannya datang daripada harta pusaka Tun Razak juga?

Sama ada hubungan Najib dengan adik-beradiknya mulai retak atau tidak disebabkan elemen kemewahan yang tidak terkawal ini, hakikatnya kebimbangan mengenai subjek Rosmah sudah semakin meluas ketika ini.

Dalam ertikata yang lain, kesusahan yang diakibatkan oleh "First Lady" ini semakin dirasai dan mula menyentap hati ramai orang.

15 restoran nasi kandar ditutup

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KEPALA BATAS: Sebanyak 15 restoran nasi kandar di negeri ini diarah tutup selain dikenakan tujuh notis kompaun bernilai RM6,100 kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan meloyakan.
 
Ketua Unit Penguatkuasaan Kesihatan negeri, Ahmad Shukri Bakar berkata, daripada jumlah itu, enam buah premis terletak di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (dua), daerah timur laut (tiga) dan empat di daerah barat daya.
 
Beliau berkata, dalam operasi empat jam bermula pukul 9.30 pagi ini, dua restoran nasi kandar di pekan Kepala Batas diarah tutup dua minggu ekoran bahagian dapur yang kotor dan meloyakan.
 
“Dalam pemeriksaan itu kita mendapati lantai dapur premis yang basah, bekas berisi daging ayam di­letakkan di atas lantai dan kesan-kesan najis tikus di bahagian dapur premis biarpun resoran itu dipenuhi pengunjung untuk bersarapan.
 
“Selain itu, didapati kebersihan bahan mentah dan siling di bahagian dapur tidak memuaskan serta ada pekerja yang tidak mendapatkan suntikan, pakaian pengendali makanan tidak bersih, tong sampah yang tidak ditutup dan makanan terdedah serta tidak memakai kasut bertutup dan apron kotor,” katanya di sini hari ini.
 
Ahmad Shukri berkata, pihaknya mengesan sebanyak lapan kesalahan utama mengikut Peraturan 11 Akta Makanan 1983 yang memaksa pihaknya mengeluarkan notis kepada pengusaha restoran terbabit.
 
Menurut beliau, pengusaha res­toran terbabit sepatutnya mengambil kira faktor kebersihan dan tidak memandang remeh soal membabitkan kesihatan pelanggan.
 
Orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika ingin membuat aduan tentang premis makanan yang kotor di ne­geri ini.­

Anwar Dalam Proses Mohon Belas Ihsan Sebagai Pesalah - Peguam


MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam proses memohon belas ihsan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang pesalah, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Beliau berkata tindakan memfailkan petisyen pengampunan membawa maksud Ketua Pembangkang itu mengaku atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

"Ia menunjukkan Anwar menerima keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dan apabila meminta pengampunan, ia membawa maksud dia telah mengaku.

"Permohonan pengampunan itu bukannya untuk menafikan hukuman yang telah dijatuhkan.

"Sekarang adalah proses mohon belas ihsan bagi pesalah yang dijatuhihukuman," jelasnya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada 24 Februari lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Badan Peguam Christopher Leong, yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar, Khairul berkata beliau tidak menyokongnya.

"Segala hujah, perdebatan, keterangan, alibi, bukti dan pengakuan bersumpah telah dibuat di mahkamah. Apabila keputusan telah dibuat, tidak seharusnya dan sewajarnya perdebatan dibuat di luar mahkamah. "Ia (jika dilakukan) akan menjadi perbincangan umum dengan pelbagai persepsi kerana mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan fakta yang berpaksikan akta danundang-undang. Elakkan daripada persepsi. 

"Saya fikir, biarlah kita bagi ruang kepada pihak-pihak mempertikai ini menerima keputusan yang ditetapkan kerana ia telah diputuskan di peringkat paling tinggi di Malaysia," katanya.

Selain itu, katanya hampir 16 tahun rakyat dikelirukan oleh pelbagai teori serta andaian dan kini tiba masanya untuk rakyat menerima dan menjadikan kes Anwar sebagai iktibar bahawa tiada siapa akan terlepas daripada undang-undangjika terbukti bersalah.

Peguam Shaharuddin Ali juga tidak menyokong cadangan perdebatan itu kerana berpendapat ia boleh disalah erti oleh pihak luar yang menyangka keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan lagi.

"Pihak-pihak luar boleh menyangkakan seolah-olah keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan lagi, padahal ia tidak boleh (dipersoalkan) kerana keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

"Lapan hakim telah berkata bahawa Anwar bersalah dan hanya satu hakim sahaja iaitu di Mahkamah Tinggi membebaskannya," katanya.

Menurutnya perbahasan sedemikian juga boleh disalahertikan sebagai menghina keputusan mahkamah.

Terpedaya Dengan 'Rayuan Seks'


MSTAR ONLINE


Gambar yang dimuat naik di Facebook mendakwa sebagai anggota militan Chechen di Syria.
 
 
 
PETALING JAYA: Gambar-gambar 'abam handsome' (lelaki tampan) dilihat digunakan untuk menarik minat remaja perempuan menyertai kumpulan militan di Syria.

Terbaharu pihak yang merekrut anggota baharu mengambil kesempatan dengan kaedah 'rayuan seks' untuk menarik minat remaja perempuan yang mudah tertipu.

Salah satu pengendali akaun Facebook, dikenali sebagai Abu Chechnya di Rusia (http://on.fb.me/ 1Avavyn), meletakkan gambar militan Chechen di Syria.

Menerusi ruangan komen pada gambar itu, secara terang pengendali akaun Facebook itu membalas komen seorang pengguna lain dengan menulis: "Ada yang berkenan ke kat dalam gambar tu??? Abam2 shishani handsome2 wowww hahaha!!! (Berminat dengan sesiapa di dalam gambar? Orang-orang di sini kacak)."

Ahli psikologi klinikal, Prof Madya Dr Alvin Ng berkata secara umumnya remaja cenderung mendekati apa sahaja yang menarik minat mereka.

"Remaja perempuan dan lelaki berdarah panas. Terutamanya mereka dari keluarga yang bermasalah mudah tertarik dengan unsur pengembaraan dan cuba untuk melarikan diri kerana mereka percaya tempat baharu mungkin lebih baik," katanya.

Pihak yang merekrut juga bijak bermain dengan emosi apabila menyatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang dipilih hingga membuatkan remaja itu berasa istimewa.

"Anak-anak muda yang merasa seperti seorang buangan di rumah mereka sendiri atau masyarakat mudah untuk terpedaya," katanya.

Menurut Dr Ng, adalah tidak adil untuk menyalahkan sistem pendidikan apabila golongan muda dari Malaysia berasa terdorong untuk berperang di negara lain.

"Keadaan ini juga boleh berlaku kepada golongan muda dan orang dewasa di negara-negara maju. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi memungkinkan ahli militan direkrut dari seluruh pelusuk dunia," katanya.

Dr Ng berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa dan penjaga untuk menerangkan kepada kanak-kanak ini mengenai akibat daripada tindakan mereka.

"Mereka perlu membuat anak-anak mereka rasa berharga dan dihargai. Ia penting supaya mereka tidak mudah terpengaruh untuk meninggalkan rumah.

'Pertikaian hudud dengan DAP boleh diselesaikan'

MALAYSIAKINI


 


Pemuda PAS bertemu dengan Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo untuk berbincang mengenai isu hudud yang berlangsung dengan tenang semalam.

Dalam pertemuan yang diadakan semalam, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata Gobind bertegas dengan pendirian partinya berhubung isu tersebut.

Suhaizan berkata MP Puchong itu menerangkan kepadanya mengapa DAP menentang pindaan undang-undang pelaksanaan hudud di Kelantan yang dijadualkan akan dibentang dalam sidang DUN negeri itu pada 18 Mac depan.

Bagaimanapun, pemimpin muda PAS itu percaya masih terdapat ruang konsensus untuk mencapai resolusi berhubung pertikaian itu.

"Saya yakin, kita akan mencapai penyelesaian yang terbaik bagi pertikaian mengenai Rang Undang-undang Hudud,"  kata Suhaizan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Walaupun DAP tetap dengan pendirian mereka, Pemuda PAS melihat ada ruang besar bagi kedua-duanya untuk mencapai kata sepakat pada akhirnya," katanya lagi.

Selain itu, Suhaizan berkata, pertemuan yang diatur oleh Pemuda PAS itu bertujuan untuk memberi penjelasan tentang undang-undang hudud yang menjadi pertikaian antara DAP dan PAS.

"Kita mahu membantu bagi menjadikan perkara ini lebih mudah dan senang untuk DAP dan PAS bagi menyelesaikan masalah ini.

"Oleh itu, kami akan terus bertemu dengan pemimpin muda DAP seperti ketua pemuda DAP Anthony Loke dan Liew Chin Tong bagi mendapatkan pendapat mereka," tambahnya.

'Saya Saman Harakah Untuk Mempertahankan Keluarga' - Najib

Oleh: YU JI
 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perasmian perletakan Batu Asas Hospital Sri Aman di sini hari ini. Turut sama Menteri Kesihatan Datuk Seri S.Subramaniam (tiga, kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (dua, kiri). --foto BERNAMA
 
 
 
SRI AMAN: Perdana Menteri, DAtuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas lidah rasmi PAS, Harakahdaily demi mempertahankan nama baik keluarganya. 

"Kerana mereka telah memfitnah (keluarga saya), saya terpaksa menyaman mereka atau menggesa mereka menarik balik apa yang mereka telah katakan dalam Harakah," kata Najib kepada pemberita di sini, Jumaat.

"Apa yang dilaporkan dalam Harakah merupakan fitnah dan tidak benar semata-mata. Mereka tidak menunjukkan bukti. Oleh itu, saya mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan keluarga saya," tambahnya.

Najib bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

Baru-baru ini Harakahdaily telah menyiarkan artikel mengenai 1MDB dan Riza Aziz yang merupakan anak tiri Najib.

Difahamkan Najib telah mengarahkan firma guaman, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk menghantar notis menuntut pengarah urusan Harakahdaily, Dr Rosli Yaakop menarik balik artikel dan menerbitkan satu permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis

Artikel berkenaan komentar yang ditulis berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh New York Timen pada awal bulan ini.

Najib bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembinaan Hospital Pakar Sri Aman.

Hospital bernilai RM150 juta yang mempunyai 108 katil itu dilancarkan pada 2011 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

PM: Bayaran hospital di M'sia termurah di dunia

MALAYSIAKINI


 


Hospital dan klinik kerajaan di Malaysia menggenakan bayaran perubatan dan kesihatan yang termurah di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja membelanjakan wang yang besar untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, malah menggenakan bayaran terendah di dunia kepada pelanggan.

"Apabila menjadi pesakit luar dan berjumpa dengan doktor, pelanggan hanya perlu membayar RM1 manakala bayaran RM5 dikenakan jika berjumpa dengan doktor pakar. Ubat-ubatan pula diberi secara percuma.

"Tidak ada sistem kesihatan lain di dunia yang mengenakan bayaran yang sebegini rendah.

"Secara keseluruhannya, subsidi kesihatan di Malaysia mencecah 98 peratus, maknanya 98 peratus kos kesihatan bagi setiap pesakit ditanggung oleh kerajaan, cuma satu atau dua peratus sahaja dikenakan bayaran," katanya.

Perdana menteri berucap demikian ketika merasmikan majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman, Sarawak hari ini.

"Ini menunjukkan bahawa sistem kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Malah, kalau kita buat analisis antara kos dan perkhidmatan yang disediakan, saya berani mengatakan sistem kesihatan di Malaysia adalah yang terbaik di dunia," katanya.

Menurut Najib, Malaysia disenaraikan sebagai ketiga terbaik daripada 24 negara di dunia dalam penyediaan kemudahan kesihatan.

Sementara itu, Najib berkata pembinaan hospital baru Sri Aman yang dijangka siap pada 2018 sekali lagi membuktikan kerajaan menepati janjinya kepada rakyat.

Katanya, sejumlah RM12 juta dibelanjakan untuk memperoleh tapak dan kerja pembersihan tapak serta anggaran RM150 juta untuk pembinaan struktur bangunan hospital berkenaan.

Beliau berkata, apabila siap kelak, hospital baru itu akan dilengkapi dengan 108 katil dan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan pakar seperti bilik pembedahan, hemodalisis, radioterapi sekaligus merupakan lonjakan daripada segi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan Sri Aman.

"Ini merupakan bukti usaha kerajaan terus membela nasib rakyat dan memberi keutamaan yang tinggi sekalipun di kawasan luar bandar.

"Pembinaan hospital dan klinik termasuk Klinik 1Malaysia, kemudahan pendidikan dan sebagainya akan terus dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan Sarawak.

"Memang masih ada kekurangan, saya tidak nafikan dan banyak cabaran tetapi kita tetap akan memberi dengan membina hospital tambahan dan baru serta dilengkapi dengan doktor-doktor pakar," katanya.

Menurut Najib, disebabkan usaha memujuk doktor-doktor pakar untuk berkhidmat di hospital luar bandar di negeri ini merupakan cabaran yang amat besar, justeru kerajaan akan menyediakan insentif khas kepada mereka.

"Perkara ini sedang kita fikirkan kerana kita mahu hospital-hospital disediakan dengan doktor-doktor pakar yang diperlukan," katanya.

Di majlis itu perdana menteri turut menyampaikan wang ihsan kepada 18 mangsa banjir dari Rumah Lembu, Entulang, Skrang Engkilili dan Nanga Tebat, Sri Aman.

Sementara itu, Najib mengumumkan kerajaan meluluskan pembinaan sebuah balai polis di Beladin, iaitu kira-kira 12 kilometer dari Pusa yang dijangka dapat dimulakan pembinaannya hujung tahun ini.

Menurut Najib, tender bagi pembinaan balai polis itu akan dikeluarkan September depan.

"Barang kali pada hujung tahun ini, jika tidak ada apa-apa aral melintang, projek ini boleh kita mulakan," katanya.

Najib membuat pengumuman tersebut semasa melancarkan projek pembinaan sebuah dewan masyarakat di Beladin, hari ini.

Menurut Najib, pembinaan balai polis tersebut adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

Mengenai pembinaan dewan masyarakat bernilai RM3.6 juta yang dapat memuatkan sehingga 1,000 orang dan mempunyai tiga gelanggang badminton, Najib berkata kerajaan telah memenuhi hasrat penduduk Beladin.

Projek pembinaan dewan di atas tanah seluas 1.5 hektar di hadapan Masjid Beladin Al-Amin itu diluluskan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Beladin dua
tahun lalu.

Katanya, projek itu merupakan antara kejayaan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional dan merupakan nikmat yang dikecapi Sarawak yang merdeka dalam Malaysia.

"Kita tak janjikan bulan dan bintang. Kita janjikan yang mampu kita tunaikan. Inilah kredibiliti kita," katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Justeru, beliau meminta rakyat agar menilai sendiri siapa yang benar-benar membantu, menepati janji dan boleh menjadi tempat untuk mereka bergantung harap.- Bernama

Tinjauan: Hanya 18% responden Cina puas hati prestasi PM

MALAYSIAKINI


 


Satu kajian oleh Merdeka Centre mendedahkan bahawa hanya 18 peratus responden dari kalangan masyarakat Cina berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Manakala hanya 13 peratus percaya negara ini sedang menuju ke arah yang betul di bawah kepimpinannya.

Secara keseluruhan, 39 peratus responden dari semua kumpulan etnik, berkata negara ini menuju ke arah yang betul manakala 47 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Bagi persepsi terhadap kerajaan mengikut garis etnik pula, tinjauan itu mendapati hanya 11 peratus responden Cina menyatakan "gembira".

Daripada 1,800 orang responden, 30 peratus adalah dari kalangan masyarakat Cina.

Peratusan itu mungkin lebih rendah sekiranya tinjauan itu - yang dijalankan pada bulan Januari - dijalankan bulan ini, ekoran gesaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk SeriIsmail Sabri Yaakob supaya orang Melayu memboikot peniaga Cina.



Anak Najib kahwini tunang 28 Mac?

MALAYSIAKINI


 


Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak – Nooryana Najwa – dengan tunangnya Daniyar Kesikbayev kini semakin giat diperkatakan di kalangan pengguna Internet.

Spekulasi itu bertiup kencang selepas gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka, tersebar luas di media sosial.

Pejabat Perdana Menteri – apabila ditanya – masih membisu mengenai perkara itu. Ibu Daniyar juga enggan mengesah atau menafikan mengenai perkahwinan itu.

Dalam reaksi melalui emel kepada Malaysiakini, Maira Kesikbayev, melalui jurucakap di New York itu, berkata: "Kami tidak ada komen pada masa ini."

Jemputan perkahwinan itu diletakkan dalam kotak warna emas dan warna putih, termasuk skrol serta kad untuk mereka yang dijemput bagi mengesahkan kehadiran masing-masing.

Kad itu menyatakan bahawa perkahwinan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 8 malam 28 Mac.

Nooryana dan Daniyar dilaporkan bertemu di Amerika Syarikat, di mana pasangan itu melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Tinjauan Malaysiakini mendedahkan bahawa tempat KLCC untuk 28 Mac telah pun ditempah tetapi ia tidak dapat disahkan untuk siapa.

Nooryana, 26, adalah anak sulung daripada dua orang anak Najib dengan Datin Rosmah Mansor. Najib juga mempunyai tiga lagi anak daripada perkahwinannya sebelum ini dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.

Bakal menantu perdana menteri itu mempunyai hubungan dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, yang merupakan abang kepada bapa tiri Daniyar.

Pada tahun 2012, Daniyar diheret ke kancah kontroveri melibatkan pertikaian undang-undang di antara ibunya dengan bapa tirinya Bolat Nazarbayev.

Bolat, dalam saman terhadap Maira di Mahkamah Agung Manhattan, menuduh bekas isterinya itu menipunya membabitkan sebuah apartmen bernilai AS$20 juta di New York dan membelanjakan AS$75 juta wangnya untuk membeli barang kemas.

Dia juga menuduh Maira sedang diburu oleh Interpol berkaitan kes penculikan dan peras ugut.

Menurut New York Post, dokumen mahkamah juga mendakwa Daniyar telah memalsukan kelayakan pendidikannya untuk masuk ke Universiti Columbia.

Maira telah menafikan yang dia dikehendaki oleh pihak berkuasa atau telah melakukan sebarang salah laku.

Seorang pembantu rapat Rosmah kemudiannya menyifatkan kontroversi itu sebagai "telah dibesar-besarkan".

Dalam kad perkahwinan yang disebarkan itu, nama keluarga Danayir "Nazarbayev", yang telah digunakan secara meluas dalam media, digugurkan dan menggunakan nama keluarga lamanya "Kasikbayev".

Ibunya telah dilaporkan menukar nama keluarga Danayir kepada Nazarbayev sebelum ini, sama dengan nama keluarga Presiden Kazakhstan itu.

Nama Maria menjadi tumpuan berita sekali lagi pada tahun 2013 apabila didedahkan bahawa cincin berlian kontroversi bernilai RM24 juta yang telah dibawa masuk ke Malaysia atas nama Rosmah, adalah untuk dilihat oleh Maria.

Maria ketika itu dikatakan menginap di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya sebagai tetamu.

Tinjauan: Sokongan pada Najib merosot

MALAYSIAKINI


 


Sokongan kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak merosot lagi kepada 44 peratus bulan lalu berbanding 45 peratus dalam tinjauan Disember.

Namun, peratusan sokongan terendah kepada perdana menteri direkodkan pada Januari tahun lalu, sebanyak 42 peratus.

Pada November dan Disember lalu, tinjauan pendapat Merdeka Center mendapati sokongan padanya mendatar pada tahap 45 peratus.

Selepas pilihan raya umum Mei 2013, sokongan kepada Najib berada di tahap tertinggi 62 peratus (Ogos 2013) sebelum merosot kepada 52 peratus (Mac 2014) tetapi meningkat semula 54 peratus (Ogos 2014).

Dalam tinjauan pendapat Merdeka Center, 46 peratus responden tidak menyokong cara perdana menjalankan tugasnya.

Tinjauan itu, yang diadakan antara 21 hingga 30 Januari lalu, mendapati 47 peratus pengundi berasa negara ini menuju arah yang salah berbanding 39 peratus berpendapat sebaliknya.

SELCAT siasat isu penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat 3 Mac

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SUBANG JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam pada Selasa (3 Mac) ini bagi menyiasat isu penyelenggaraan dan pemantauan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata pendengaran itu diadakan berikutan dua insiden yang berlaku di dua buah PPR di negeri ini sehingga meragut dua nyawa sebelum ini.
YB Daroyah sampaikan sumbangan mangsa jatuh PPR Kota Damansara (1)
“Jawatankuasa memutuskan akan menyiasat isu ini antaranya Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor ditugaskan untuk memastikan penyelenggaraan sebahagian rumah pangsa di Selangor.

“Pihak terlibat secara langsung disaman untuk hadir memberi keterangan kepada Selcat.

“Jadi isu PPR ini kita nak siasat disebabkan ada dua kes kematian kanak-kanak tetapi kita tak fokus kepada dua kes tersebut kerana dah jadi kes polis tetapi kita nak tengok secara amnya isu penyelenggaraan seluruh Selangor,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di Balai Masyarakat di Rumah Pangsa Kos Rendah PJS 7, Bandar Sunway di sini, hari ini.
11022568_823963824343907_4576485144990881769_n
Jelas Hannah, siasatan Selcat juga merangkumi perbelanjaan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum dan selepas berlaku insiden terbabit, isu kutipan caj penyelenggaraan dan lain-lain isu berkaitan.

“Rumah pangsa tersebut merupakan program perumahan rakyat di bawah Rancangan Malaysia ke-7 Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Baru-baru ini selepas kematian kanak-kanak tersebut Kerajaan Persekutuan melalui Datuk Seri Noh Omar ada memperuntukan lebih RM1 juta penyelengaraan dan Kerajaan Negeri melalui Exco juga mengumumkan peruntukan,” kata beliau lagi.

Antara dipanggil memberi keterangan dalam pendengaran awam itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, wakil Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, wakil Kerajaan Persekutuan melalui KPKT, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), wakil persatuan penduduk PPR terlibat dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selepas kita mendengar kenyataan dari semua saksi, jawatankuasa akan membuat saranan kepada Kerajaan Negeri untuk membaiki mutu penyelenggaraan dan mekanisma perbelanjaan,” kata beliau lagi.EZY

MB: Tiada catuan air, persiapan awal diambil

Oleh: AFIX REDZUAN


TANJONG KARANG: Kerajaan Selangor memberi jaminan memberikan jaminan tidak akan ada catuan air pada musim panas ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi membincangkan langkah alternatif menghadapi musim panas akan diadakan pada Khamis hadapan.
Azmin Air
“Saya memanggil mesyuarat MTES pada minggu hadapan menumpukan satu agenda sahaja iaitu berikutan cuaca yang panas dan ada kemungkinan musim kemarau ini berpanjangan dan ada kaitan dengan cuaca global hari ini.

“Saya minta satu taklimat penuh diberikan supaya kita dapat membuat persiapan awal termasuk bekalan air mentah ke loji rawatan Negeri Selangor dan juga bekalan air bersih yang akan disalurkan kepada pengguna.

“Saya tidak mahu masalah catuan (air) ini berulang seperti tahun lepas jadi kita akan membuat persiapan awal,” katanya kepada media di Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong.

Umno tak letak calon, 1MDB dan pembunuhan Altantuya




Oleh DATO' HUSAM MUSA, Naib Presiden PAS 


Pengumuman Presiden Umno bahawa Umno/BN tidak akan meletakkan calon untuk PRK Cempaka membuktikan kekuatan Umno/BN di era kepimpinan beliau sudah menurun ke tahap tidak lagi berani berhadapan dengan lawan tradisinya

 Sekaligus membuktikan kata kata keramat al Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat :'Tak dok sebab demo nak lawan kawe' menjadi kenyataan hari ini.

Selepas pemergian Tok Guru, Umno/BN mengakui kehebatan perjuangan beliau dan yang lebih penting, mesej perjuangan beliau - Islam dan bukan kebangsaan - adalah benar. Alhamdulillah.

Sekalipun tanpa penyertaan Umno/BN, isu negara yg melibatkan DS Pres Umno secara langsung iaitu 1MDB dan misteri pembunuhan Altantuya tetap akan diketengahkan dan tetap memerlukan tindak balas meyakinkan dari PM Malaysia.

Saya tidak nampak perpaduan ummah boleh ditegakkan tanpa ketelusan dalam isu kenegaraan yang besar seperti 1 MDB dan isu jenayah seperti Altantuya.

Perpaduan Ummah hanya akan menjadi alat politik jangka pendek utk menyelamatkan hayat politik individu dan parti tertentu semata-mata.

Bahkan, sebelum ini BN juga gagal meletakkan calon di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan ia tidak membawa apa apa makna kepada perpaduan ummah atau negara.

Sirul persulit komplot pembunuhan Altantuya




Oleh Subky Latif


PEMIKIRAN polis dilihat tak sekata tentang perkembangan baru berhubung dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu berikutan Sirul Azhar Umar, seorang daripada dua yang dijatuhi hukum bunuh membunuhnya melepaskan diri ke Australia.
    
Sirul yang lari itu dikatakan mahu memberi cerita tambahan atas kes itu. Dipercayai boleh melengkapkan rahsia pembunuhan. Semua menyangka kisah pembunuhan itu belum terdedah sepenuhnya sekalipun mahkamah lama membicarakan kes itu.

Apa cerita yang Sirul simpan menyebabkan kerabat polis tidak sekata. Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan berpendapat, patut dibuka semula kertas penyiasatan. KPN sekarang kata tak perlu, memadai dipantau saja.
    
Gara-gara Sirul terlepas daripada kerajaan dan polis Malaysia, kes pembunuhan Altantuya jadi tidak selesai lagi.
   
Percanggahan pandangan antara pemimpin polis sekalipun Musa bukan polis lagi tetapi dia adalah pemimpin polis dulu. Jika polis berbeza pendapat tentang sesuatu dalam kes bunuh itu, maka apa lagilah orang bukan polis yang memerhatikan perkara itu sejak awal yang mengesyaki banyak perkara yang belum terbongkar.
    
Sirul kini bukan sekadar orang yang sudah dijatuhkan hukuman bunuh, tetapi dia boleh menjadi saksi yang amat penting dalam kejadian itu.
   
Orang bukan tidak percaya Sirul terlibat dalam pembunuhan itu tetapi orang mahu tahu apa yang menyebabkan Sirul boleh terlibat dalam pembunuhan itu sedang dia adalah seorang warga polis yang tugasnya pula spesyel.
    
Apabila Sirul terlepas dan boleh mencetuskan kesaksian baru, dengan sendirinya menandakan komplot pembunuhan itu tidak rapi hingga tidak mustahil banyak lagi perkara terbongkar.
   
Ia tidak seperti pembunuhan Presiden Amerika John Kennedy. Selepas suspek pembunuhnya ditahan, dia ditembak pula oleh orang yang kononnya kecewa atas pembunuhan Presiden yang disayangi itu. Dengan pembunuhan itu tidak semua di sebalik pembunuhan dapat diketahui. Mengapa pembunuh itu membunuh Kennedy tidak diketahu kerana kesaksian terpenting telah hapus.
     
Justeru komplot itu tidak menghapuskan segera saksi-saksi penting itu menyebabkan kes pembunuhan Altantuya belum betul-betul selesai sekali pun mahkamah sudah membuat keputusan.
  
Sirul ternyata jadi masalah besar kepada lembaga di belakang pembunuhan itu. Sepanjang kes itu ditangani, sistem keadilan hanya menumpukan siapa yang membunuh dan meletup mayat mangsa saja. Mengapa dia dibunuh dan apa motif dua orang yang dijatuhkan hukuman bunuh tidak dijelaskan.
   
Dan Sirul pula mengambil kesempatan melaikan diri ke Australia, sebuah negara yang tidak ada hukum bunuh. Bagaimana Sirul pilih lari ke Australia dan mengapa tidak pilih negara lain? Adakah dia sendiri tahu akan undang-undang negara itu atau siapa yang memberitahunya dan membantunya lari ke situ?
   
Mengapa dia tidak pilih Perancis yang pengamal undang-undangnya sangat berminat untuk menyelesaikan peranan Altantuya dalam urusan pembelian kapal selam antara Kuala Lumpur dan Paris?
   
Adakah pihak yang membantunya lari ke Australia itu adalah juga dari kalangan lembaga di belakang pembunuhan dan meletupkan mayat itu?
   
Apa polis Malaysia akan buat pada Sirul tidak diketahui? Adakah kerjanya sudah habis dan berlepas tangan saja? Kisah selanjutnya kini ada dalam tangan Australia. Adakah ia mahu tutup begitu saja atau mahu mengambil keterangan mengapa Sirul campur tangan dalam urusan Altantuya dengan orang-orang yang dikenalinya di Kuala Lumpur.
    
Mongolia tidak dapat buat banyak bagi mendapatkan keadilan Altantuya kerana tiada laluan daripada Malaysia. Apakah ia tidak dapat kemudahan daripada Australia bagi mendapatkan keterangan lanjut tentang pembunuhan itu.
    
Sirul ada semua rahsia itu. Apakah polis Malaysia berminat dengannya tidak penting sangat, tetapi apakah interpol dan Perancis tidak minat dengan jenayah berprofil tinggi ini? Apakah kita sekadar jadi penonton bagi kes ini diselesaikan oleh polis antarabangsa? –

3,000 Anggota Tentera Darat Sertai Zikir Perdana

RAKYATNEWS


 


PORT DICKSON - Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan antara kira-kira 3,000 pegawai dan anggota tentera darat yang menyertai majlis Zikir Perdana di sini, malam tadi, sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-82, tahun ini.

Majlis bertempat di Masjid Depot Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diadakan selepas solat Maghrib itu dipimpin oleh Kapt. Hanafiah Mat Zain dari Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat.

Turut diadakan ialah tazkirah oleh penceramah jemputan Ustaz Uda Kasim yang merupakan Pengetua Maahad Dakwah Wal Irshad, Bandar Puteri, Kelang.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Raya Tentera Darat Mej Mohd Riduan Yusoff berkata selain menerapkan kepentingan amalan berzikir dalam kehidupan harian, majlis itu juga bertujuan meningkatkan hubungan silaturrahim sesama anggota.

"Amalan ini juga merupakan sesuatu pembinaan kerohanian untuk anggota muslim lebih memahami dan menghayati tuntutan nilai-nilai murni Islam yang perlu diamalkan dalam kehidupan," katanya di sini.

'Izinkan Anwar minum teh bersama Agong'

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan, termasuk menghadiri majlis minum petang diraja bersama Yang di-Pertuan Agong selepas acara pembukaan, kata anaknya.

"Beliau perlu dibenarkan memenuhi jemputan Seri Paduka Baginda untuk minum petang bersama. Ada tempat khas untuk ketua pembangkang dalam majlis itu," kata Nurul Izzah, juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Dalam sidang medi di pejabat PKR hari ini, beliau menunjukkan kad jemputan ke sidang Parlimen pada 9 Mac sehingga 9 April ini daripada yang dipertua dewan.

Surat rasmi itu dihantar menggunakan sampul surat bertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda', tambah Nurul Izzah.

Majlis Peguam tolak tawaran debat Shafee

MALAYSIAKINI


 


Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menolak tawaran untuk berdebat dengan ketua pendakwa dalam kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya, seorang pendakwa raya tidak sepatutnya tampil untuk berdebat seperti itu kerana ia satu tindakan yang melanggar etika.

Leong berkata demikian bagi mengulas tawaran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek untuk menganjurkan debat di antara beliau dan Shafee.

Katanya, seorang pendakwa raya mewakili kerajaan dan rakyat, maka setiap penjelasan mengenai berkenaan perlu dibuat secara “tanpa emosi, berhati-hati dan tenang”.

“Tentu sekali tidak bertempat kalau diadakan jelajah atau debat,” katanya.

Katanya, program seperti itu mungkin akan “memalukan atau menjejaskan keyakinan umum” ke atas institusi badan pendakwaan.

“Adakah sesuatu perintah kepada seseorang pendakwa untuk menjalankan pendakwaan memberi lesen untuk menjalankan kecaman secara umum ke atas seorang individu yang disabit kesalahan dan dipenjara?

“Adakah pendakwa yang diberi perintah ini turut diberi kuasa untuk menjalankan aktiviti sebegini?,” soalnya.

Katanya garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Pendakwa Antarabangsa antara lainnya menetapkan bahawa pendakwa mesti mengekalkan maruah, tidak memihak dan “tidak dipengaruhi oleh kepentingan setempat umum atau tekanan media”.

Katanya garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menggariskan bahawa pendakwa mesti “mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi politik, sosial, keagamaan, perkauman, kebudayaan dan seksual”.

Katanya, pendakwa di Malaysia ditadbir oleh  peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan kesopanan) 1978.

Oleh itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mesti menjelaskan sekiranya perkara yang sama terpakai ke atas pendakwa yang mendapat perintah seperti Shafee.

"Majlis Peguam membangkitkan isu ini dan melontarkan soalan kerana badan ini menyokong kedaulatan undang-undang dan keadilan.

“Majlis Peguam tidak propembangkang dan tidak juga prokerajaan,” kenyataannya dipetik.

Shafee pada minggu lalu berucap mengenai kes Liwat II dalam dua acara dan mendedahkan butiran yang sebelum ini hanya dinyatakan secara in camera dalam perbicaraan tersebut.

Ramuan rahsia buat anda jadi gemuk

MALAYSIAKINI


 


Para penyelidik percaya bahawa pengemulsi (emulsifiers) – ramuan tambahan dalam makanan - boleh menambah berat badan dan meningkatkan kadar untuk menghidap penyakit seperti kencing manis, kolitis dan penyakit Crohn.

Penyakit Crohn adalah sejenis penyakit keradangan usus (IBD), menyebabkan bengkak dan masalah saluran usus, manakala colitis merupakan radang usus besar (kolon, usus buntu dan rektum).

Pengemulsi – yang semulajadi dan sintetik - digunakan untuk membuat makanan berkrim dan menjadi tebal serta memanjangkan tempoh tamat penggunaannya.

Penyelidikan baru mendapati pengemulsi komersial mempunyai struktur kimia yang serupa dengan bahan pencuci yang mempunyai kesan negatif ke atas badan.

Hasil ujian awal ke atas tikus, penyelidik di Georgia State University mendapati beberapa pengemulsi ini menjejaskan keseimbangan bakteria baik dalam badan dan mengakibatkan radang usus – dan proses itu menyebabkan penyakit kencing manis dan dan menambah berat badan.

Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Nature, memberi tumpuan kepada dua pengemulsi ini - polysorbate 80 dan carboxymethylcellulose - bahan tambahan yang paling biasa dijumpai seperti dalam ais krim, marjerin, mayonis, sos berkrim, roti dibungkus dan banyak lagi makanan yang diproses.

“Kami merasakan terdapat beberapa faktor bukan genetik di luar sana, ada faktor alam sekitar, yang boleh menjelaskan mengenai peningkatan dalam penyakit-penyakit radang yang kronik,” kata Pakar imunologi Georgia, Andrew Gewirtz

“Dan kami menyangka bahawa pengemulsi adalah calon yang baik kerana ia sentiasa ada dan secara kasarnya, penggunaannya selaras dengan peningkatan penyakit-penyakit ini. Tetapi kami terkejut dengan kesannya yang begitu kuat,” tambahnya. - Independent

Untung pracukai FY14 AirAsia RM22.7j

MALAYSIAKINI


 


Keuntungan sebelum cukai AirAsia Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menjunam kepada RM22.7 juta berbanding RM361.23 juta pada 2013.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM5.42 bilion berbanding RM5.11 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengendali syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataan berasingan berkata, kenaikan pendapatan itu disebabkan pertumbuhan dua digit dalam tambang purata dan pendapatan sampingan setiap penumpang yang meningkat 31 peratus tahun ke tahun.

Syarikat itu, yang mempunyai 81 peswat berpangkalan di Malaysia setakat akhir 2014 berkata, peningkatan signifikan dalam sumbangan perniagaan sampingan kepada pendapatan keseluruhan tahun ke tahun juga menyumbang kepada peningkatan signifikan dalam pendapatan purata tempat duduk sekilometer (RASK).

"Keuntungan operasi bersih turun sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM109.8 juta disebabkan kos pembiayaan lebih tinggi berkaitan pinjaman bankketika syarikat membeli lebih banyak pesawat dan pembiayaan ibu pejabat baru AirAsia di klia2," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata, pendapatan syarikat itu diukur di segi RASK, dilaporkan berada pada 15.95 sen, naik tujuh peratus tahun ke tahun daripada 14.88 sen.

"Saya gembira untuk menyatakan yang tambang purata naik 13 peratus pada suku keempat 2014 kepada RM171 yang menunjukkan pasaran lebih rasional dan pemulihan permintaan, yang pada awalnya terjejas berikutan insiden penerbangan dan kes penculikan di Sabah.

"Perniagaan sampingan juga mencatat prestasi sangat baik berbanding tahun sebelumnya dengan kenaikan 31 peratus.

"Ini membuktikan tidak seperti syarikat penerbangan lain, AirAsia mempunyaimodel yang teguh dan inovatif yang boleh menempuh sebarang keadaan.

"Perpindahan ke lapangan terbang baharu klia2 dan kemudahan yang lebih besar membolehkan kami melaksanakan lebih banyak pemadanan bandar dan pada 2014 sahaja, kumpulan AirAsia mencatat 1.52 juta penumpang, meningkat 90 peratus tahun ke tahun," tambahnya.

Aireen berkata, kos syarikat, diukur di segi kos purata tempat duduk sekilometer CASK), dilaporkan berada pada 13.51 sen, naik sembilan peratus tahun ke tahun, terutama disebabkan kenaikan dalam kos susut nilai dengan tambahan pesawat dimiliki AirAsia Bhd.

Thai AirAsia mencatat pendapatan 7.88 bilion baht (RM870.86 juta) pada suku keempat 2014, manakala Indonesia AirAsia mencatat peningkatan pendapatan tahun ke tahun 11 peratus kepada 1,731.63 bilion rupiah (RM48.25 bilion).

Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pada 2015 syarikat itu akan memberi tumpuan meningkatkan kedudukan tunai melalui pengurusan kapasiti dan merancang pembiayaan semula pesawat lebih lama (melalui jualan dan pajakan balik) di samping menjual pesawat vintaj dan slot. - Bernama

Paul Phua warganegara Montenegro

MALAYSIAKINI


 


EKSKLUSIF Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan fail rasmi di Montenegro, Paul Phua, secara teknikalnya, bukan lagi warganegara Malaysia.

Bukti baru berkaitan dengan rangkaian perniagaan Phua di Montenegro dan hubungan dengan pegawai tinggi kerajaan di negeri Balkan itu, menunjukkan dia telah menjadi warganegara Montenegro.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak membenarkan dua kerakyatan, dan sesiapa yang menerima kewarganegaraan negara lain, secara otomatik, hilang kerakyatan Malaysia.

Menurut laporan siasatan oleh portal berita popular Montenegro, Vijesti, Phua telah diberikan kewarganegaraan Montenegro selepas dicadangkan secara peribadi kepada Perdana Menteri di negara ini, Milo Đjukanović.

Phua, yang didakwa seorang anggota kanan kongsi gelap antarabangsa, menerima kerakyatan Montenegro kerana beliau adalah seorang yang "berkepentingan khas bagi negeri itu, saintifik, ekonomi dan lain-lain kepentingan Montenegro."

Dia dianugerahkan kewarganegaraan Montenegro antara Oktober 2013 dan Oktober 2014.

Malaysiakini bulan lalu melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah menulis surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), membersihkan Phua daripada kaitan dengan kongsi gelap 14K yang berpangkalan di Hong Kong.

Zahid juga menyatakan bahawa Phua, yang berasal dari Sarawak dan menghadapi tuduhan menjalankan perjudian haram di Amerika Syarikat, membantu Malaysia dalam projek-projek keselamatan negara.

Khamis, 26 Februari 2015

Adik PM prihatin isu harta pusaka Tun Razak

MALAYSIAKINI


 


Empat orang adik perdana menteri hari ini menimbulkan kebimbangan ke atas laporan media berhubung harta pusaka bapa mereka, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Spekulasi itu timbul selepas Pejabat Perdana Menteri memberitahu akhbar New York Times bahawa gaya hidup abang mereka, Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

"Kami sangat bimbang kerana beberapa laporan berita terkini dan tulisan (di Internet) menimbulkan spekulasi berhubung bentuk dan tahap warisan yang ditinggalkan arwah bapa kami, Abdul Razak.

"Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak merupakan orang yang sangat berprinsip dan hal ini diketahui semua yang mengenali sikap berhemah dan integritinya.

"Apa jua kenyataan atau kaitan yang bertentangan dengan itu sama sekali tidak benar dan mengelabui ingatan padanya dan khidmat serta pengorbanannya pada negara," kenyataan ringkas empat beradik itu petik.

Akhbar berpengaruh itu memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri sewaktu menjelaskan sumber kekayaan tokoh berkenaan.

Akhbar itu juga menyebut, beberapa keping gambar isteri perdana menteri Rosmah Mansor dengan pelbagai jenis beg tangan mahal tersebar meluas di media sosial.

Laporan itu juga mendakwa memperolehi salinan invois bernilai berjuta-juta dolar pesanan barangan kemas Rosmah di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

The New York Times menyiarkan kenyataan PMO itu dalam laporannya berkaitan ahli perniagaan Jho Low (kiri) yang ada hubungan dengan ahli keluarga Najib dan gaya hidup mewah mereka.

Jho Low dilaporkan membantu anak tiri Najib, Riza Aziz untuk membeli kondominium mewah di New York dan membiayai penerbitan filem Hollywood yang dilakukan Riza.

Menariknya, akhbar tersebut turut menyiarkan berita yang sama di dalam bahasa Melayu.

Semua perlu sokong Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM


Semua perlu sokong Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM Mustapa (kiri) menjawab soalan hadirin pada pertemuan yang diadakan di Kota Bharu semalam.
 
 
KOTA BHARU - Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas ini akan menjadi kenyataan jika mendapat sokongan semua parti politik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap parti pembangkang juga akan menyokong pindaan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini kerana ia penting untuk meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM, selain menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

"Kerajaan telah setuju dalam manifesto (Pilihan Raya Umum 2013). Umno dan Barisan Nasional Kelantan sokong seratus peratus. Ahli-ahli Parlimen BN akan sokong. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (BN Kelantan) juga sokong pindaan ini.

"Pindaan ini akan menaikkan imej negara, menjadikan SPRM lebih bebas, baik untuk pelaburan, menarik pelabur dari luar negara," katanya.

Pengerusi Umno Kelantan itu berkata demikian pada Program Keterlibatan Strategik  bersama pemimpin tertinggi politik dan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Adun Umno di sini, semalam.

Program yang sama membabitkan wakil rakyat Pas dan PKR Kelantan telah diadakan pada 22 Februari 2015.

Di akhir program itu, wakil rakyat Pas Kelantan melahirkan pendirian akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud tersebut, pendirian Pas itu dizahirkan oleh  Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, badan bebas yang memantau SPRM berkata, beliau yakin pembentukan suruhanjaya perkhidmatan khas akan memperbaiki persepsi orang ramai mengenai kebebasan SPRM.

Pada pertemuan hari ini, taklimat mengenai syor penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Zakaria Jaffar. Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban juga hadir.

Pada sidang media kemudian, Zakaria berkata, pemimpin Pas Negeri Kelantan telah melahirkan sokongan ke atas cadangan membawa dua peruntukan tersebut.

"Dua hari lepas SPRM telah mendapat pendirian yang sama, seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Takiyuddin, yang merupakan ahli JKMR SPRM. Hari ini Umno, BN Kelantan mengambil pendirian yang sama. Ini satu perkembangan baik.

"Pada 31 Mac ini akan ada satu pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Pas, mereka akan datang ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (di Kuala Lumpur), akan diberi taklimat mengenai perkara ini," katanya.

Katanya, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengetuai wakil rakyat partinya pada pertemuan itu.

Zakaria berkata, SPRM akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan parti-parti politik, peringkat negeri dan nasional, bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen kelak.

SPRM yakin pertemuan seperti ini penting bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama bagi mencegah rasuah seiring dengan slogan “Anda Boleh Melakukan Perubahan, Perangi Rasuah”.

Wartawan Malaysia berisiko tinggi di zon konflik

SINAR HARIAN

Gaza Letupan kuat dari bedilan tentera Zionis di wilayah Gaza.
 
 
KUALA LUMPUR - Wartawan biasanya tidak menulis atau menyiarkan tentang bahaya yang mereka hadapi semasa bertugas mencari berita, kecuali dalam kes-kes ekstrem.

Mereka mahu menulis kisah orang lain tetapi bukan diri sendiri menjadi fokus berita. Malaysia tidak menghasilkan wartawan perang seperti Ernie Pyle, William Russell ataupun Perdana Menteri Britain Winston Churchill, yang menjadi pemberita perang terkenal pertama dalam Perang Boer pada tahun 1899. 

Namun dalam cara mereka yang tersendiri, para wartawan Malaysia mengambil risiko terhadap nyawa mereka sendiri dengan sukarela menerima tugasan di zon-zon konflik, terutama dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV adalah wartawan pertama yang gugur semasa bertugas di kawasan berbahaya di luar negara.

Serangan itu berlaku pada 2 September, 2011 di Mogadishu, Somalia ketika Noramfaizul sedang melaporkan untuk Bernama TV dalam satu misi kemanusiaan yang  dianjurkan oleh kelab kebajikan Islam Kelab Putera 1Malaysia.

Terdapat risiko yang tinggi untuk para wartawan yang membuat liputan di zon-zon berkonflik - dan tanggungjawab yang sangat besar buat para editor yang menghantar mereka bagi menghasilkan berita dan menetapkan konteks.

Namun begitu, kematian Noramfaizul tidak menghalang wartawan lain daripada menyertai misi-misi kemanusiaan yang lain.

Bagaimanapun, sebelum insiden tragik itu berlaku ke atas Noramfaizul, wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan terlebih dahulu menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan turut berhadapan dengan situasi merbahaya.

Mohd Faizal berlepas dari Malaysia pada 3 Mei, 2011, bersama-sama 12 penumpang dengan menaiki kapal milik Malaysia MV Finch.

Kapal kargo ini, yang juga dikenali sebagai Semangat Rachel Corrie, meninggalkan Pelabuhan Piraeus di Greece pada 11 Mei dan memasuki Laut Mediterranean menuju ke Gaza, mengangkut paip perparitan plastik bagi membantu membaikpulih sistem perparitan sepanjang 7.5 kilometer yang musnah semasa pembunuhan beramai-ramai di Gaza dari 2008 sehingga 2009.

Kapal bantuan kemanusiaan Malaysia itu berada di perairan Rafah pada 16 Mei, apabila ia diekori oleh bot-bot tentera laut Israel selama setengah jam sebelum  empat tembakan amaran dilepaskan ke udara.

Faizal berkata dalam insiden pada pukul 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia), MV Finch berada di dalam zon keselamatan Palestin, kira-kira 400  meter dari pantai Gaza, apabila ia dipintas oleh pasukan tentera laut Israel, memaksanya berpatah balik dan berlabuh.

Beliau berkata, satu daripada das tembakan hampir mengenai seorang anak kapal Mohd Jaffery Ariffin menyebabkan yang lain panik dan bersembunyi  menyelamatkan diri.

"Tentera Israel meminta kami memberhentikan kapal dan keluar dari perairan Mesir. Kami berjaya meminta bantuan melalui radio daripada tentera Mesir.

Selepas menyedari kehadiran angkatan tentera laut Mesir, tentera Israel pun  beredar," kata Faizal berkongsi pengalaman yang menakutkan itu dengan para peserta bengkel Kewartawanan Digital dan Multimedia di Bernama baru-baru ini.

Faizal, yang terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan dengan Angkatan Tentera pada Oktober tahun lepas dan misi bantuan ke Jepun pada Mac, 2011 berkata ia adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan.

Katanya ketika kejadian itu, beliau berada di dek bawah kapal berkenaan bersama wartawan New Straits Times (NST), Iskandar Alang Bendahara dan seorang sukarelawan dari pejabat publisiti (Felda) Jabatan Perdana Menteri, Mohd Radzillah Abdullah.

Beliau berkata selepas kapal itu memasuki perairan Mesir barulah mereka naik ke dek atas dan lega kerana semua orang selamat.

"Kami sangat bersyukur kerana askar-askar Israel tidak naik ke kapal kami," tambah beliau.

Kapal Tentera Laut Mesir memintas dan mengiringi kapal MV Finch ke kawasan perairan Mesir. Kami berlabuh di luar Pelabuhan El Arish dan berada di situ selama lebih seminggu.

"Kami sangat dekat, tetapi jauh. Kami hanya dapat memerhatikan sahaja rakan-rakan seIslam menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang berhampiran," beliau mengingati detik-detik itu semula.

Faizal berkata tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kapal mereka dan melepaskan tembakan.

"Mereka menggunakan peluru anti-pesawat .50mm. “Tiada kata yang dapat menggambarkan ketakutan kami pada waktu itu. Semasa saat-saat menakutkan, kami berserah kepada Allah dan berdoa Yang Maha Kuasa akan melindungi kami," katanya dan menambah bahawa wartawan NST, Iskandar berjaya merakam video  tindakan zalim tentera Israel terhadap mereka.

Wartawan TV Al-Hijrah, Aimy Nor Halimah Abdul Halim dan jurukameranya Muhammad Syafiq Azman memahami risiko yang menanti dan bersedia untuk sebarang kemungkinan apabila mereka menyertai misi yang seumpama ke Lubnan dan Jordan (kedua-duanya pada pertengahan 2014).

Aimy berkata misi 'Return2Aqsa3 - Ramadan Relief Mission' dari 19 Julai hingga 26 Julai, 2014 ke Lubnan adalah pengalaman yang membuka matanya.

Misi bantuan kemanusiaan ini adalah inisiatif Aqsa Syarif, sebuah NGO dan rangkaian pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, bagi menyediakan bekalan makanan, perubatan dan keperluan pembelajaran bernilai RM500,000 untuk kanak-kanak Palestin di kem-kem pelarian Lubnan.

Aimy dan Muhammad Shafiq menyedari bahawa mereka mempertaruhkan nyawa pergi ke kawasan pergolakan perang di Lubnan bagi melakukan penggambaran kehidupan pelarian Palestin.

"Sangat menyayat hati menyaksikan pelarian Palestin tinggal di kem-kem yang sesak. Saya sangat bersyukur yang saya adalah rakyat Malaysia dan boleh menikmati keamanan dan hidup selesa," kata Aimy.

Menurut United Nations Welfare Relief Agency (UNWRA), seramai 450,000 pelarian berdaftar dengan agensi ini di Lubnan setakat 1 Julai, 2014 dengan 53 peratus tinggal di 12 kem pelarian.

Mereka menghadapi masalah serius seperti kemiskinan, kesesakan, pengangguran, keadaan perumahan yang teruk dan tiada infrastruktur. Konflik yang berlanjutan di Syria telah memaksa ramai pelarian Palestin melarikan diri ke Lubnan untuk keselamatan.

Muhammad Syafiq berkata pada mulanya beliau dijadualkan ke Tebing Barat pada pertengahan 2014, tetapi terpaksa ke Jordan disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan untuk memasuki Tebing Barat yang dikuasai oleh Israel.

Shafiq yang ditugaskan untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sukarelawan bukan sebagai wartawan, percaya yang pihak berkuasa sengaja melambatkan proses memandangkan beliau dari Malaysia, yang menyokong kuat perjuangan Palestin.

"Mungkin lawatan ini yang diadakan semasa ketegangan yang semakin meruncing selepas pihak Israel menculik, membakar dan membunuh seorang budak lelaki Palestin di Jerusalem Timur pada waktu Subuh awal Julai tahun lepas,” kata Shafiq.

"Ia pengalaman yang sangat mencabar buat kami berdua. Kami menghabiskan masa selama dua minggu di dalam dua kem pelarian terbesar dunia yang terletak di Jordan iaitu Al Azraq dan Zaatari," beliau berkata.

Hampir dua juta pelarian Palestin yang berdaftar tinggal di Jordan. Terdapat 10 kem pelarian Palestin di Jordan setakat 1 Julai, 2014.

Pada April 2014, Jordan membuka kem Azraq bernilai AS$63.5 juta yang dibina bagi menempatkan 130,000 orang.

Para pegawai UN menyatakan bahawa kem Azraq, yang merangkumi kawasan seluas enam batu persegi, boleh menjadi lebih besar daripada kem Zaatari, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Syria. Zaatari sebenarnya bandar keempat terbesar di Jordan dan kem pelarian terbesar di dunia selepas Dadaab di Kenya  yang melindungi hampir 360,000 dari Somalia.

Shafiq berkata kebanyakan rakaman dan temubual dilakukan dengan tergesa-gesa disebabkan masa yang diberikan sangat terhad di dalam kem tersebut berserta kawalan yang ketat. Sebahagian daripada rakaman diambil dari dalam kenderaan.

Menurutnya, beliau dapat menemubual anak-anak Palestin generasi ketiga, termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, yang membesar di dalam kem.

Tidak kira tua atau muda, mereka mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel yang menggunakan senjata terhadap wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya di Gaza.

"Bagi pelarian-pelarian ini, sesetengahnya dapat melepaskan diri daripada serangan bom Israel, kem ini menggambarkan kesengsaraan, penderitaan dan memori yang menyedihkan. Setiap orang daripada mereka mempunyai cerita yang sangat mengganggu perasaan mengenai penyeksaan atau menyaksikan sendiri kematian  dan kekejaman lain.

"Fokus kami (TV Al-Hijrah) adalah memberi mereka harapan dan kekuatan. Kebanyakan rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka, jauh di sudut hati mereka masih percaya yang keadilan sebenar tidak dapat dicapai selagi mereka tidak dibenarkan pulang ke tanah air," kata Shafiq. - Bernama