HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Februari 2015

Rosmah: Amboi mahalnya RM1,200 dandan rambut

MALAYSIAKINI


 


Putrajaya disaran membuat garis panduan untuk perkhidmatan rumah ke rumah bagi mengelakkan peniaga meletakkan harga sesuka hati, terutamanya selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenal.

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata tanpa kawalan harga, pengguna khususnya suri rumah akan terbeban.

“Kita ini suri rumah tangga sering menjadi mangsa kepada orang yang seperti ini.

“Dulu kita buat baju kurung RM500 boleh dapat, sekarang itu pun dah mahal,” kata Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI).

Rosmah berkata demikian dalam majlis penerangan GST anjuran BAKTI di pejabat badan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkongsi pengalamannya sendiri berdepan kos mahal, seperti perkhidmatan penjagaan diri rumah ke rumah.

“Sekarang ini bila saya nak cat rambut dekat rumah dia (pendandan) sudah caj RM1,200. Amboi mahalnya!

“Kalau di kedai dia kata harganya berbeza. Dia (pendandan) kata mahal sebab home service,” kata Rosmah.

Malah katanya mendandan rambut seakan-akan sesuatu yang mewah bagi suri rumah sepertinya.

“Inilah perkara yang merisaukan kita suri rumah tangga yang tidak berduit dan yang tidak berpendapatan,” katanya.

Tiada pemantauan khusus sekarang

Sementara itu, Bernama melaporkan, taklimat GST itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Kira-kira 50 anggota Bakti hadir pada sesi itu.

Ahmad berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil perhatian hal yang dibangkitkan itu.

Menurut Ahmad, tiada pemantauan khusus dibuat terhadap perkhidmatan ke rumah ketika ini.

"Khidmat yang dimaksudkan termasuk khidmat solekan, tukang paip, tukang elektrik, upah jahit baju dan sebagainya," jelas beliau.

Timbalan Menteri itu berkata aduan perkhidmatan seumpama itu yang mengenakan harga semakin tinggi tanpa kawalan boleh membebankan pelanggan terutama suri rumah.

GST akan dimulakan pada 1 April depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Tiada ulasan: