Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
KUALA LUMPUR - Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara automatik
akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen mulai esok, berikutan
parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak memohon pengampunan Diraja
bagi pembebasannya.
Perkembangan terbaharu itu memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya
kecil Parlimen Permatang Pauh hampir pasti diadakan kerana kerusi yang
disandang Anwar itu mungkin diisytiharkan "secara rasmi kosong" tidak
lama lagi.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli memberitahu media hari ini bahawa PKR
tidak akan memohon pengampunan Diraja bagi pembebasan Anwar, sambil
menambah bahawa tiada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk
berbuat demikian.
Hari ini adalah hari terakhir bagi Anwar untuk mengemukakan permohonan
bagi pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah.
Penyandang kerusi Permatang Pauh itu mempunyai tempoh 14 hari bermula
dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara kerana meliwat,
untuk memfailkan petisyen bagi pengampunan tetapi setakat ini, Anwar
tidak mengambil apa-apa langkah ke arah itu.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas, menolak rayuan Anwar
terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya,
Saiful Bahari Azlan pada 2008, dan mengekalkan hukuman penjara lima
tahun.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini, berkata
pihaknya hanya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengenai kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh, sebaik sahaja tempoh
Anwar hilang kelayakan sebagai anggota parlimen berkuat kuasa.
Di bawah Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Anwar hilang
kelayakan sebagai anggota parlimen hanya berkuat kuasa selepas 14 hari
dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, iaitu esok.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution
Ismail ketika dihubungi Bernama menyifatkan pengumuman Rafizi itu
isyarat jelas kepada jentera parti untuk turun padang dan bekerja lebih
keras bagi memastikan kemenangan parti berkenaan di kawasan tersebut.
Katanya ini kali keenam PKR bertanding di Permatang Pauh sejak pilihan
raya umum 1999 apabila Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,
memenangi kerusi tersebut, selain beberapa pilihan raya kecil bagi
kerusi dewan undangan negeri di kawasan parlimen berkenaan.
"Jentera parti sentiasa bersiap sedia sepanjang masa dan kita akan mula
berkampung minggu ini," katanya, yang menolak desas-desus bakal menjadi
calon parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan