HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Februari 2015

DUN Chempaka : Pasca banjir patut jadi pertimbangan utama

 
Apa pun keputusan BN, orang akan bercakap macam-macam, tapi dalam apa jua keadaan dan situasi BN tetap meletakkan kepentingan rakyat di depan


azizbanjir


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Abdul Aziz Yusof percaya pucuk pimpinan parti akan membuat segala pertimbangan terbaik berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang akan diadakan bulan depan.

Beliau yang sebelum ini pernah bertanding dan memenangi PRK DUN Galas pada tahun 2010 melihat segala aspek seperti soal kepentingan rakyat khususnya pasca banjir besar yang melanda negeri itu sudah pasti akan menjadi pertimbangan utama.

“Kita serahkan segala-galanya kepada pimpinan parti. Bertanding atau tidak bukanlah persoalan pokok yang perlu kita dendangkan hari ini dan kita juga tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak.

“Apa yang penting hari ini saya kira rata-rata mereka bercakap soal penempatan dan segala keperluan lain yang perlu diuruskan sebaik mungkin. Bertanding atau tidak itu persoalan lain…kita utamakan kepentingan rakyat.

“Memanglah orang akan bercakap Barisan Nasional (BN) tidak berkeyakinan dan sebagainya.

Namun bagi saya secara peribadi dan turut sama mengalami musibah banjir baru-baru ini di kawasan Galas, biarkan cakap-cakap politik tersebut kerana seperti yang saya sebutkan tadi, BN dalam apa jua keadaan dan situasi meletakkan kepentingan rakyat di depan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata secara peribadi beliau berpandangan BN tidak perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi DUN Chempaka.

Ini kerana tumpuan perlu diberi kepada kerja pemulihan pasca banjir di negeri ini, kata Mustapa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Negeri Kelantan.

Manakala Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata BN akan mendapatkan laporan lengkap daripada Pengerusi Perhubungan BN Pulau Pinang dan Kelantan sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam PRK di Permatang Pauh dan Chempaka.

Abdul Aziz seterusnya menambah secara peribadi juga beliau melihat keputusan pada PRK DUN Chempaka tidak akan mengubah kerajaan negeri dan sebagainya.

“Sekali ditegaskan secara peribadi saya melihatnya begitu…Tumpuan kepada bantuan pasca banjir adalah lebih baik dan itulah yang diharapkan oleh mereka yang ditimpa musibah baru-baru ini,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil Chempaka di Kelantan pada 22 Mac depan. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 10 Mac, manakala pengundian awal pada 18 Mac.

Tiada ulasan: