MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengancam untuk mengemukakan
saman ke atas lidah rasmi PAS berhubung tulisan yang mengaitkan
1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan anak tirinya.
Surat tuntutan Najib diserah kepada Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakub jam 3 petang tadi, lapor Utusan Online.
Laporan sama menyebut surat tuntutan itu dibuat Najib atas kapasiti
peribadinya berhubung artikel 'Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza
Aziz?'.
Artikel
bertarikh 12 Februari lalu yang ditulis Rosli mengaitkan syarikat
pelaburan nasional itu dengan filem anak isterinya Rosmah Mansor.
Selain Rosli, turut dinamakan dalam surat tuntutan itu adalah Ketua Pengarang Harakah, Taufik Yahya.
Surat tuntutan itu difailkan oleh firma Hafarizam Wan Aishah dan Mubarak.
Ia antara lain menuntut dua individu tersebut serta Harakah untuk
menarik kembali artikel itu, berhenti daripada mengulangi kenyataan
fitnah dalam artikel itu, menyiarkan permohonan maaf mengikut syarat
Najib dan berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan tersebut.
Bagaimana pun, tiada sebarang jumlah saman dinyatakan dalam surat itu.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan satu saman difailkan terhadap mereka.
Rosli dalam artikel itu memetik laporan New York Times baru-baru ini yang menghuraikan tentang aktiviti hartawan Jho Low di New York.
Memetik persahabatan Jho Low dan Riza, Rosli mempersoalkan sumber kewangan Riza dalam membikin dua buah filem di New York.
Selain surat tuntutan ini, Najib sebelum ini juga menghantar surat
tuntutan kepada MP Pandan, Rafizi Ramli dan MP Petaling Jaya Utara, Tony
Pua.
Tony dan Rafizi juga menerima surat itu berhubung kenyataan mereka tentang 1MDB.
Selain itu, Najib juga pernah mengemukakan tuntutan sama di atas kapasiti peribadinya terhadap Malaysiakini berhubung krisis menteri besar Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan