HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2015

Kes tukar agama: Pelajar dakwa dipaksa lapor polis

MALAYSIAKINI


 


Seorang pelajar sekolah mendakwa dikurung di sebuah bilik di sebuah pusat dakwah di Negeri Sembilan dan dipaksa agar membuat laporan polis ke atas bapanya, seorang penganut Hindu.

Pelajar berusia 14 tahun itu dalam laporan polis bertarikh 17 Februari mendakwa dipaksa oleh dua orang gurunya untuk membuat satu laporan lebih awal bahawa bapanya cuba menukar agamanya menjadi Hindu.

S Thiyaggurudeen, pelajar sebuah sekolah di Port Dickson itu mendakwa, guru tersebut memberi beliau minum “air penawar” dan dipaksa menandatangani laporan polis awal, bertarikh 13 Februari.

Beliau mendakwa dibawa ke sebuah pusat dakwah dan disoal siasat selama tiga jam oleh kumpulan yang didakwa pegawai jabatan hal ehwal agama Islam.

Menurutnya, beliau seterusnya diselamatkan oleh bapanya yang berjaya mengesan kedudukannya pada hari kejadian.

Remaja tersebut direkodkan sebagai seorang Islam dalam MyKad. Bapanya seorang Hindu dan ibunya warga Indonesia beragama Islam.

Difahamkan, bapanya, S Ganesan, memohon pada Mahkamah Syariah untuk menukar agama anaknya, namun diberitahu bahawa beliau perlu menunggu sehingga Thiyaggurudeen berusia 18 tahun untuk mendapatkan kebenaran.

Laporan polis Thiyaggurudeen didedahkan oleh timbalan pengerusi biro hak asasi dan undang-undang PKR, S Jayathas kepada Malaysiakini.

Menurut Ganesan, dua guru tersebut memaksa anaknya menandatangani laporan mendakwa beliau mendera remaja tersebut sejak 2012 supaya keluar dari Islam.

“Sehingga kini, saya belum menerima apa-apa penjelasan daripada sekolah, mengapa guru tersebut bertindak sebegitu,” kata Ganesan.

Ganesan juga pernah memeluk Islam pada 1982 untuk berkahwin dengan seorang wanita Islam, dan berjaya keluar daripada agama tersebut pada 1987, bersama isterinya itu dan tiga orang anak.

Isteri keduanya, seorang wanita Indonesia beragama Islam, meninggalkan negara ini selepas bercerai.

Thiyaggurudeen merupakan anak pertama dengan isteri keduanya itu.

Tiada ulasan: