HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Februari 2015

Jika Sirul Azhar ‘kambing hitam’, siapa gembalanya?

ALTANTUYA

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Pembunuh Altantuya Shaariibuu yang kini dalam pelarian di Australia, Sirul Azhar Umar, digesa menyatakan kebenaran tentang apa yang telah terjadi di sebalik kes pembunuhan tersebut.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyatannya menggesa Sirul untuk benar-benar menyesali apa yang telah berlaku serta membantah hukuman mati terhadapnya dalam keadaan dalang pembunuhan tersebut masih bebas.

“Sirul patut berhenti bersembunyi dan melarikan diri seperti yang dibuatnya sepanjang sembilan tahun lalu dan menyatakan pendirian secara jujur dan benar mengenai pembunuhan pada tahun 2006 itu,” ujar Kit Siang.

“Masanya telah tiba untuk Sirul membuat pengakuan awam mengenai akuan salahnya kepada pihak polis pada 9 November 2006,” tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Pengakuan salah Sirul dalam percakapan beramaran yang dirakamkan ketika siasatan tidak dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan Sirul pada Julai 2007.

“Sirul mesti mendedahkan sekarang sama ada pengakuannya itu adalah benar atau sebaliknya,” kata Kit Siang lagi.

Pada 3 Februari 2009, Sirul memberitahu mahkamah bahawa beliau merupakan ‘kambing hitam’ yang perlu dikorbankan demi melindungi pihak-pihak tertentu yang tidak dihadapkan ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 9 November 2006, dalam percakapan beramarannya kepada polis, Sirul menyatakan bahawa rakannya Azilah Hadri yang turut didapati bersalah membunuh Altantuya pernah menyebut tentang ganjaran antara RM50,000 ke RM100,000 sekiranya kes tersebut selesai.

Sirul juga memberikan gambaran terperinci bagaimana Altantuya dibunuh sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4.

“Sekiranya pengakuan ini tidak benar, Sirul mesti jelaskan bagaimana dia boleh memberikan gambaran yang begitu terperinci mengenai kejadian terbabit,” tambah Kit Siang.

Bukan itu sahaja, Sirul juga wajar mendedahkan semua yang terjadi sepanjang sembilan tahun lalu, terutamanya sama ada beliau pernah dijanjikan kebebasan atas tindakannya mematuhi arahan untuk membunuh Altantuya.

“Sirul jelas tidak mempunyai motif membunuh Altantuya, kerana dia tidak kenal Altantuya, dan dia juga tidak kenal Abdul Razak Baginda,” jelas Kit Siang lagi.

Dalam pengakuannya, Sirul merujuk Altantuya sebagai ‘perempuan Cina’, dan tidak pernah tahu bahawa mangsa merupakan seorang warga Mongolia. – Roketkini.com

Tiada ulasan: