MALAYSIAKINI
Pemuda PAS bertemu dengan Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh
Deo untuk berbincang mengenai isu hudud yang berlangsung dengan tenang
semalam.
Dalam pertemuan yang diadakan semalam, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat
berkata Gobind bertegas dengan pendirian partinya berhubung isu
tersebut.
Suhaizan berkata MP Puchong itu menerangkan kepadanya mengapa DAP
menentang pindaan undang-undang pelaksanaan hudud di Kelantan yang
dijadualkan akan dibentang dalam sidang DUN negeri itu pada 18 Mac
depan.
Bagaimanapun, pemimpin muda PAS itu percaya masih terdapat ruang konsensus untuk mencapai resolusi berhubung pertikaian itu.
"Saya yakin, kita akan mencapai penyelesaian yang terbaik bagi
pertikaian mengenai Rang Undang-undang Hudud," kata Suhaizan ketika
dihubungi Malaysiakini hari ini.
"Walaupun DAP tetap dengan pendirian mereka, Pemuda PAS melihat ada
ruang besar bagi kedua-duanya untuk mencapai kata sepakat pada
akhirnya," katanya lagi.
Selain itu, Suhaizan berkata, pertemuan yang diatur oleh Pemuda PAS itu
bertujuan untuk memberi penjelasan tentang undang-undang hudud yang
menjadi pertikaian antara DAP dan PAS.
"Kita mahu membantu bagi menjadikan perkara ini lebih mudah dan senang untuk DAP dan PAS bagi menyelesaikan masalah ini.
"Oleh itu, kami akan terus bertemu dengan pemimpin muda DAP seperti
ketua pemuda DAP Anthony Loke dan Liew Chin Tong bagi mendapatkan
pendapat mereka," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan