PETALING JAYA:
Mentaliti segelintir masyarakat tempatan yang enggan dan malu untuk
membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan menjual tisu memaksa
golongan istimewa itu mendapatkan ‘khidmat’ pengiring di kalangan warga
asing.
Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya
(OKU) Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) mengakui itulah realiti
kehidupan sebenar golongan kurang bernasib baik ini ketika mencari
rezeki bagi menyara kehidupan mereka
Pengerusi PKB, Raja Zainuddin Raja
Ghazali menjelaskan, warga asing ini bukan didalangi sindiket yang mahu
mengambil kesempatan ke atas golongan OKU.
Bagaimanapun, menurutnya, pengiring
warga asing sebenarnya adalah ‘rakan’ yang dikenali OKU dan mereka
berkhidmat atas dasar kenalan yang sudi membantu.
“Orang buta terpaksa keluar berjalan mencari rezeki dan memerlukan pengiring bagi membantu memudahkan pergerakan mereka.
“Realitinya, orang tempatan tak mahu
bawa orang buta sebab mereka malu untuk melakukan kerja itu, selain
bimbang akan bertemu orang yang dikenali.
“Nak tak nak, apa yang ada itu sahajalah
yang mereka harus terima. Yang tak malu dan sanggup bawa mereka adalah
warga asing di mana kebanyakan mereka merupakan rakyat Indonesia,”
katanya dalam satu temuramah mStar Online.
Portal mStar Online sebelum ini
melaporkan warga asing dengan status meragukan dipercayai
‘berselindung’ di sebalik aktiviti minta sedekah dengan menjadi
pengiring OKU penglihatan yang menjual tisu.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 200
ahli PKB yang berdaftar di mana sebahagian besarnya melakukan aktiviti
menjual tisu dengan bantuan pengiring warga Indonesia.
Raja Zainuddin berkata, penglibatan
warga Indonesia sebagai pengiring itu disebabkan faktor bahasa yang
memudahkan kedua-duanya berkomunikasi ketika bekerja.
Beliau turut mendedahkan, sebenarnya
terdapat warga tempatan yang ‘sukarela’ tampil mahu menjadi pengiring
OKU tetapi mereka di kalangan penagih dadah.
Menurutnya, golongan itu tidak sesuai
dijadikan pengiring kerana ia akan mengancam keselamatan OKU, selain
terdedah kepada penipuan.
“Pengiring sebenarnya berperanan untuk
membantu pergerakan dan menjaga keselamatan OKU tetapi penagih dadah ini
hanya mengancam keselamatan mereka,” katanya sambil tidak menolak
penagih dadah mungkin mahu mengambil kesempatan dengan mencuri wang
milik OKU hasil jualan tisu, antara lain untuk membeli dadah.
Raja Zainuddin berkata, PKB berperanan
dalam memantau pergerakan mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini
berlaku terutama melibatkan soal keselamatan.
Ditanya mengenai bantuan ahli keluarga,
beliau menjelaskan hubungan segelintir mereka tidak begitu baik
berikutan persepsi terhadap OKU sebagai beban.
Dalam pada itu, katanya, warga asing
tidak berselindung di sebalik aktiviti ini, sebaliknya mereka hanya
menjadi pengiring kepada OKU sebagai ‘kerja sampingan’.
Beliau menambah, kebanyakan OKU yang
membantu menjadi pengiring mempunyai pekerjaan tetap atau separuh masa
seperti bekerja di restoran dan tukang cuci.
“Warga asing ini menjadi pengiring sebelum atau selepas waktu kerja. Khidmat mereka ini sudah pastinya mendapat imbuhan (upah).
“Ia bergantung kepada persetujuan
bersama antara OKU dan warga asing dari segi bayaran. Kebiasaannya
pengiring mendapat antara 20 hingga ke 40 peratus daripada hasil jualan
tisu,” katanya.
Bagi memastikan aktiviti OKU menjual
tisu berjalan lancar dan tidak dimanipulasi pihak tertentu, Raja
Zainuddin menyeru kepada semua pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO)
terutama persatuan ibu-ibu tunggal supaya tampil membantu menjadi
pengiring.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan