HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2015

Hudud: PAS tidak pernah beri sebarang makluman kepada DAP

gobind singh deo

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menyangkal dakwaan Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bahawa semua pihak dalam Pakatan Rakyat telah dimaklumkan mengenai rancangan pelaksanaan hudud pada tahun 2011.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata, dakwaan itu jelas mengarut sama sekali kerana tidak pernah ada sebarang makluman berkenaan hudud dibentangkan.

“PAS tidak pernah menunjukkan atau memaklumkan kepada kami mengenai butir-butir rang undang-undang hudud yang ingin dibentangkan pada 18 Mac nanti.

“Ini termasuk rang undang-undang persendirian yang ingin dibentangkan di Parlimen untuk membenarkan pelaksanaan hudud pada masa akan datang.

“Malah PAS enggan memberikan salinan rang undang-undang tersebut untuk kami lihat walaupun diminta oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Puchong itu menegaskan, perbincangan mengenai kandungan rang undang-undang hudud tersebut hanya dibincangkan beberapa minggu lalu dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Namun katanya, mesyuarat PR telah memutuskan supaya hal tersebut ditangguhkan terlebih dahulu sehingga perbincangan secara terperinci dilakukan kemudian.

“Janganlah Takiyuddin memutarbelit fakta. Kita sedang bercakap tentang rang undang-undang yang spesifik, bukan perbincangan am mengenai hudud,” tegasnya.

Gobind turut menyelar pendirian beberapa rakan dalam PAS yang menyifatkan tindakan mereka berkeras mahu hudud dilaksanakan itu adalah berasaskan pendirian ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam PR.

“Dengan penuh hormat saya katakan, ini tidak masuk akal.

“‘Bersetuju untuk tidak bersetuju’ itu maksudnya semua parti dalam PR boleh untuk tidak bersetuju antara satu sama lain dalam perkara tertentu tapi ia tidak bermakna tindakan secara tidak konsisten dari Dasar Bersama dibenarkan.

“Sebarang agenda secara sepihak di luar kerangka dasar tanpa konsensus diperolehi terlebih dahulu dari kesemua parti pastinya tidak dibenarkan,” ujarnya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dilaporkan semalam mendakwa DAP tidak boleh menghalang PAS melaksanakan hudud kerana enakmen berkenaan telah diluluskan pada 1993 oleh DUN Kelantan sebelum wujudnya PR.

Menurut beliau, DAP mahupun PKR juga sudah maklum mengenai pelaksanaan undang-undang berkenaan kerana ia pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR dan kepada DAP sendiri pada tahun 2011. – Roketkini.com

Tiada ulasan: