HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2015

Puad: 'Lawan tetap lawan' tapi mohon ampun

MALAYSIAKINI


 


Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memohon pengampunan diraja atas kesalahan meliwat.

Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata petisyen pengampunan selalunya dimohon oleh banduan yang menghadapi hukuman gantung atau penjara seumur hidup.

"Anwar ternyata seorang yang bacul kerana biasanya mereka yang menerima hukuman gantung atau penjara seumur hidup sahaja yang memohon pengampunan.

"Setakat lima tahun pun hendak minta pengampunan ternyata Anwar hanya gempar sahaja apabila selalu melaungkan slogan 'lawan tetap lawan'," katanya kepada portal rasmi parti itu Umno Online.

Bekas timbalan menteri itu menambah sejak menjadi pemimpin pembangkang, tindakan Anwar dan PKR banyak mencemarkan institusi raja.

"Tetapi sekarang melutut meminta pengampunan diraja. Sudah-sudahlah, Anwar mesti berhenti berlakon dan berbohong," katanya

Ketua Umno Batu Pahat berhujah lagi, jika Anwar diampunkan, ia akan menjadi duluan kes yang buruk bagi pesalah-pesalah rogol dan liwat.

"Bayangkan selepas ini ramailah peliwat dan perogol akan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Pada 10 Feb, Anwar dijatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keluarga Anwar semalam menfailkan petisyen pengampunan di Istana Negara.

Permohonan itu membolehkan Anwar terus menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sehingga keputusan dibuat oleh lembaga pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: