HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Februari 2015

Permohonan Anwar dapat pengampunan tak mudah

MALAYSIAKINI


 


Peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali mengecap kebebasan semula melalui petisyen untuk memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong mungkin berdepan banyak kesukaran.

Petisyen itu mengandungi alasan bahawa pemenjaraan Anwar disebabkan oleh kesilapan mahkamah, tetapi seorang peguam melihatnya sebagai hujah yang tidak penting.

Ragunath Kesavan, seorang peguam kes jenayah berkata petisyen untuk memohon pengampunan itu tidak menangani hujah perundangan.

"Kesemua perkara mengenai kesilapan mahkamah atau bukti yang tidak dapat diterima, tidak lagi penting buat Lembaga Pengampunan.

"Ini adalah mengenai belas kasihan. Anda bercakap mengenai tahap kesihatan atau usianya yang lanjut dan sebagainya. Yang penting, anda katakan 'OK, saya disabitkan kesalahan. Saya minta maaf, tolong ampunkan saya'.

"Ini amat cenderung membawa kepada pengakuan bersalah,” katanya kepada Malaysiakini.

Ragunath berkata, tiada data yang dapat menunjukkan jumlah pengampunan diraja di Malaysia, dan ia biasanya dipohon oleh pesalah yang menanti pelaksanaan hukuman mati.

"Dalam kes ini, satu petisyen memohon pengampunan yang berjaya akan membolehkan hukuman itu diubah kepada penjara seumur hidup," tambahnya.

Ragunath berkata, dari segi teknikal, tiada peruntukan yang menetapkan individu yang patut mengemukakan petisyen berkenaan, bagi pihak orang yang disabitkan.

"Ia boleh jadi peguam atau keluarga orang yang disabitkan. Dalam kes ini, selagi Anwar tidak mempertikai petisyen itu, ia tetap terpakai,” kata beliau yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

Pihak yang akan menentukan sama ada Anwar patut diberi belas kasihan itu, turut melibatkan individu yang dikenali tidak mesra dengan Anwar.

Keanggotaan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu diperuntukkan oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan:

  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Muadzam Shah;
  • Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail;
  • Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor
  • Tiga individu yang bukan wakil rakyat, dilantik oleh Agong.
"Tiga anggota itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri,” kata Ragunath.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tengku Adnan merupakan seteru politik Anwar, memandangkan masing-masing merupakan presiden dan setiausaha agung Umno.

Pada 1 Julai 2008, tiga hari selepas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa dia diliwat Anwar, ketua pembangkang itu membuat laporan polis terhadap peguam negara.

Anwar mendakwa Gani dan ketua polis negara pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan memalsukan bukti ke atasnya dalam kes Liwat I pada 1998.

Ragunath berkata peguam negara menganggotai lembaga itu untuk menilai perkara melibatkan keadilan.

Perkara 42(9) menetapkan bahawa lembaga itu perlu mengambil kira pendapat bertulis yang disampaikan oleh peguam negara bersabit bukti yang dikemukakan.

Menurut peruntukan itu, Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan lembaga berkenaan, yang memberi gambaran bahawa baginda boleh membuat keputusan muktamad.

Ragunath bagaimanapun percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong tiada kuasa veto dalam lembaga berkenaan dan tiada tertib untuk memandu proses pengampunan itu.

“Ia bukan keputusan (Agong) tetapi keputusan lembaga (sama ada akan ampunkan seseorang yang disabitkan itu),” katanya.

Tiada ulasan: