SPRM dapatkan sokongan parti politik
 
 
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapatkan kerjasama ahli politik seluruh negara bagi menyokong pindaan Perlembagaan melibatkan cadangan penambahbaikan integriti dalam badan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaffar berkata, dua cadangan penambahbaikan itu mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya.

“Dua cadangan tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya ini untuk menjadikan SPRM benar-benar bebas, telus dan profesional dalam melaksanakan tugas diberikan.

“Pertemuan ini untuk menjelaskan kepentingan cadangan tersebut. Insya-ALLAH, selepas ini kami (SPRM) akan adakan pertemuan sama dengan wakil rakyat BN di sini,” katanya pada Program Keterlibatan Strategik bersama pemimpin tertinggi politik dan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Adun Kelantan (Pas), yang turut dihadiri Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban.

Zakaria berkata, cadangan tersebut telah diutarakan sejak 2009 oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibarisi wakil parti politik di Malaysia dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang mana suruhanjaya tersebut bertanggungjawab dengan penamatan, kenaikan pangkat serta atur cara tatatertib pegawai SPRM.

Menurutnya, untuk menambah cadangan itu, ia memerlukan pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen, justeru penjelasan kepada wakil rakyat pembangkang amat diperlukan.

“Kita di Parlimen sekarang ini hanyalah simple majoriti, oleh sebab itu kita mesti jelaskan kepada ahli parlimen pembangkang untuk sama-sama sokong pindaan ini, ia amat penting kerana pegawai SPRM dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, kalau kita mahu jadi badan bebas, maka kita perlu lantik pegawai kita sendiri, sama ada mahu naikkan pangkat, ambil tindakan tatatertib dan sebagainya, kita ada suruhanjaya sendiri.

“Diharap cadangan ini dilaksanakan tahun ini dan kami akan berusaha mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan wakil rakyat terutama ahli parlimen untuk menjelaskan kebaikan dan kepentingan kewujudan dua cadangan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang turut membarisi JKMR berkata, beliau dan dua wakil DAP dan PKR (dalam JKMR) sebulat suara bersetuju untuk pastikan wakil rakyat parti masing-masing menyokong pindaan tersebut.