HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Februari 2015

"Dasar Bersama PR patut diberi keutamaan, contohilah Nik Aziz” -Lim Kit Siang

Malaysia General Election 2013

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini sekali lagi memohon semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kembali kepada agenda tunggal Dasar Bersama.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, agenda tunggal harus diberikan tumpuan dengan menitikberatkan usaha menyelamatkan ikatan bersama dan menghentikan sebarang usaha menjejaskan kestabilan serta merosakkan PR seperti hudud.

“Tugas utama kini adalah bersama-sama menyelamatkan PR dengan menerima pakai ‘Peta’ sepanjang lapan tahun yang merupakan resepi kejayaan dalam Pilihanraya Umum (PRU) 2008 dan 2013 iaitu pematuhan terhadap Dasar Bersama yang mengikat ketiga-tiga pihak.

“Kita juga harus kembali kepada prinsip operasi konsensus yang memerlukan persetujuan ketiga-tiga pihak sebelum sebarang dasar atau isu boleh mewakili PR.

“Saya amat berharap pemimpin PR kembali kepada agenda tunggal dengan memikirkan formula untuk menyelamatkan ikatan, pada masa sama menyelamatkan negara termasuk Anwar daripada lima tahun penjara yang bererti juga penafian hak sivil serta hak kewarganegaraannya selama lima tahun lagi sebagai wakil rakyat mahupun untuk mengundi.

“Marilah kita melakukan apa yang boleh untuk mencapai tiga S iaitu Selamatkan PR, Selamatkan Malaysia dan Selamatkan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, rakan-rakan di dalam PAS sepatutnya mencontohi Mursyidul Am mereka Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak sebarang idea ke arah kehancuran seperti ‘Unity Government’ (UG) dan mempunyai pandangan luas ke arah kelangsungan bersama dalam PR.

Kata Kit Siang, biarpun Nik Aziz sememangnya mahu melihat pelaksanaan segera hudud, tapi mantan Menteri Besar Kelantan itu amat realistik untuk mengetahui bahawa ia bukan sebahagian daripada rangka kerja Dasar Bersama dan sebarang desakan ke arahnya tanpa mendapat persetujuan PR akan membawa kepada perpecahan.

“Nik Aziz memahami hujah-hujah bahawa pelaksanaan hudud bukanlah isu utama berbanding memastikan ‘survival’ dan kejayaan PR, kekalahan UMNO-BN, menawan Putrajaya pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 untuk segera melaksanakan dasar-dasar yang akan memberi kebebasan, keadilan, martabat manusia dan tadbir urus baik di Malaysia.

“Inilah sebabnya mengapa saya tidak menerima hujah kononnya prinsip Islam telah dilanggar jika hudud tidak dilaksanakan kerana ia bermakna Nik Aziz dan semua pemimpin PAS sebelum ini telah mengkhianati prinsip itu selama enam tahun dari PRU 12 hingga 13 apabila pelaksanaan hudud langsung tidak dikemukakan sebagai salah satu prinsip teras PR dalam PRU ke 13.

“Nik Aziz telah memberikan sokongan besar kepada pembentukan dan pengekalan PR walaupun hudud bukan sebahagian dari Dasar Bersama,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: