Semua perlu sokong Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM Mustapa (kiri) menjawab soalan hadirin pada pertemuan yang diadakan di Kota Bharu semalam.
 
 
KOTA BHARU - Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas ini akan menjadi kenyataan jika mendapat sokongan semua parti politik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap parti pembangkang juga akan menyokong pindaan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini kerana ia penting untuk meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM, selain menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

"Kerajaan telah setuju dalam manifesto (Pilihan Raya Umum 2013). Umno dan Barisan Nasional Kelantan sokong seratus peratus. Ahli-ahli Parlimen BN akan sokong. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (BN Kelantan) juga sokong pindaan ini.

"Pindaan ini akan menaikkan imej negara, menjadikan SPRM lebih bebas, baik untuk pelaburan, menarik pelabur dari luar negara," katanya.

Pengerusi Umno Kelantan itu berkata demikian pada Program Keterlibatan Strategik  bersama pemimpin tertinggi politik dan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Adun Umno di sini, semalam.

Program yang sama membabitkan wakil rakyat Pas dan PKR Kelantan telah diadakan pada 22 Februari 2015.

Di akhir program itu, wakil rakyat Pas Kelantan melahirkan pendirian akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud tersebut, pendirian Pas itu dizahirkan oleh  Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, badan bebas yang memantau SPRM berkata, beliau yakin pembentukan suruhanjaya perkhidmatan khas akan memperbaiki persepsi orang ramai mengenai kebebasan SPRM.

Pada pertemuan hari ini, taklimat mengenai syor penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Zakaria Jaffar. Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban juga hadir.

Pada sidang media kemudian, Zakaria berkata, pemimpin Pas Negeri Kelantan telah melahirkan sokongan ke atas cadangan membawa dua peruntukan tersebut.

"Dua hari lepas SPRM telah mendapat pendirian yang sama, seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Takiyuddin, yang merupakan ahli JKMR SPRM. Hari ini Umno, BN Kelantan mengambil pendirian yang sama. Ini satu perkembangan baik.

"Pada 31 Mac ini akan ada satu pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Pas, mereka akan datang ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (di Kuala Lumpur), akan diberi taklimat mengenai perkara ini," katanya.

Katanya, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengetuai wakil rakyat partinya pada pertemuan itu.

Zakaria berkata, SPRM akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan parti-parti politik, peringkat negeri dan nasional, bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen kelak.

SPRM yakin pertemuan seperti ini penting bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama bagi mencegah rasuah seiring dengan slogan “Anda Boleh Melakukan Perubahan, Perangi Rasuah”.