OLEH MD IZWAN
Kuasa
pengampunan terletak bawah Yang di-Pertuan Agong tanpa campur tangan
politik, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas keluarga
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan mengejutkan untuk memohon
pengampunan daripada pemerintah tertinggi negara hari ini.
Timbalan menteri dalam negeri itu menjelaskan, proses itu perlu melalui
Lembaga Pengampunan yang bertindak sebagai penasihat kepada Agong
selepas permohonan dibuat.
"Lembaga ini berada di bawah (bidang kuasa) Agong dan Istana, ia tidak
ada kena mengena dengan politik," kata Wan Junaidi kepada The Malaysian
Insider.
Lembaga tersebut, menurut Wan Junaidi, merupakan sebuah badan bebas,
bahkan perdana menteri sendiri tidak mempunyai kuasa atau pengaruh
politik.
"Ia bukan sebuah badan politik, bahkan dalam mana-mana badan peringkat
persekutuan, perdana menteri tidak boleh berada di dalamnya, jadi tidak
ada sesiapa pun boleh mempengaruhi keputusan dalam badan tersebut," kata
beliau yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat bagi penggal
ke-12.
Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata ia bukan proses yang pendek dan perlu
menjalani beberapa peringkat sebelum Agong membuat keputusan ke atas
mana-mana permohonan pengampunan.
"Saya ingat beliau (Anwar) sudah ambil kira semua perkara untuk buat
permohonan pengampunan, tetapi proses ini bukan secepat yang kita
jangkakan," katanya.
Hari ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan
keluarganya pergi ke Istana Negara untuk menghantar permohonan
pengampunan.
The Malaysian Insider difahamkan, permohonan tersebut dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Bagaimanapun, semalam Naib Presiden PRK Rafizi Ramli berkata Anwar
tidak akan memohon pengampunan daripada Agong berhubung sabitan kes
liwat yang dihadapinya.
Beliau berkata, sehingga kini Anwar tidak pernah memberikan sebarang
arahan kepada pasukan peguam belanya untuk berbuat demikian.
"Setakat yang saya ketahui, Anwar tidak pernah beri sebarang arahan (memohon pengampunan daripada Agong).
"Dia (Anwar) tidak bersalah," katanya semalam.
Usaha memohon pengampunan adalah langkah terakhir untuk membebaskan
Anwar selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan
bagi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat
bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Permohonan pengampunan juga akan menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tidak dapat mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh
yang disandang Anwar sehingga selesai proses pengampunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan