HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2015

'Mohon pengampunan ibarat jilat ludah sendiri'

MALAYSIAKINI


 


Keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti menjilat ludah sendiri dan cakap tidak serupa bikin ekoran memohon pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan kes liwat II.

Permohonan yang dibuat oleh keluarga Anwar itu secara tidak langsung menunjukkan Anwar mengaku bersalah atas pertuduhan liwat yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar, lapor Utusan Malaysia.

“Ini juga bertentangan dengan pendirian awal Anwar yang menegaskan tidak akan sekali-kali memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Tambahnya lagi, permohonan ini dilihat sebagai keputusan keluarga dan bukan keputusan parti serta membelakangkan pendirian terdahulu dan suara parti.

“Jelas, dalam keadaan terdesak, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan sendiri termasuk membelakangkan pendirian terdahulu dan suara parti.

“Cukup-cukuplah diperbodohkan Anwar dan PKR selama ini. Bukalah minda, terimalah kenyataan dan redalah dengan hukuman yang dijatuhkan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Petang semalam, keluarga Anwar muncul di Istana Negara bagi mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan kes Liwat II.

Beliau dihukum penjara selama lima tahun dan disabitkan kesalahan kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: