Ponteng solat naik van jenazah Anggota polis membawa mayat Mohd Suhaimi ke HTA, kelmarin.
 
 
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menangkap lelaki Islam yang berkeliaran dengan niat ponteng solat Jumaat dan membawa mereka menaiki van jenazah.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya terpaksa bertegas kerana ramai yang menganggap perkara wajib itu sebagai remeh, malah tidak malu bersiar-siar di lokasi tertentu walaupun menyedari waktu itu perlu ke masjid untuk solat Jumaat.

Menurutnya, individu yang ditangkap itu akan dibawa dengan menaiki van jenazah dan ditempatkan di pusat pemulihan yang berbentuk pondok moden bagi mengikuti sesi kaunseling.

Individu ini akan mendalami ilmu bersama ustaz berpengalaman dan mendidik agar perkara sama tidak berulang.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berkeliaran pada waktu solat Jumaat itu sejajar dengan penguatkuasaan penutupan premis perniagaan bermula 12.30 tengah hari hingga ke 2.30 petang.

"Langkah itu dibuat bagi menghormati dan memberi peluang golongan Muslim menunaikan solat,” katanya pada  program ‘Walkabout’ di Wisma Persekutuan, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan, Dr Mohamad Omar merangkap Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.

Terdahulu, awal Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua pasar raya di negeri ini ditutup pada Jumaat mulai 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat Jumaat dan berkeliaran di premis itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif turut menyokong tindakan Maidam yang menangkap golongan remaja bukan muhrim yang berkelakuan tidak sopan dan berpakaian menyolok mata di tempat awam.

“Saya menyokong penuh tindakan Maidam yang melaksanakan undang-undang tersebut bagi menjaga imej kita sebagai orang Islam dan negeri ini.

"Saya juga meminta pihak  Maidam mengambil pendekatan bersifat mendidik bukannya menghukum dan memberi peluang kepada
mereka dengan memberikan nasihat sebelum melaksanakan hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga meminta Maidam memastikan anggota penguatkuasaan agensi berkenaan diperkemas, termasuk mempelawa lebih ramai wanita mengisi kekosongan jawatan sebagai penguat kuasa.