HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2015

Selamat Menerima Menantu Buat Najib Dan Rosmah

shahbudindotcom


Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor secara rasmi akan menerima menantu apabila majlis perkahwinan anak perempuannya, Nooryana Najwa dengan Daniyar Kessikbayev akan diadakan pada 28 Mac depan di Kuala Lumpur  Convention Centre atau KLCC.

Para tetamu yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri, pemimpin GLC, tokoh korporat dan sebagainya sudah mula menerima "kotak jemputan" sejak seminggu yang lalu dan kini dalam proses mengesahkan kehadiran masing-masing.

Jemputan dibuat dalam bentuk istimewa iaitu berupa watikah yang ditulis dengan tulisan emas dan digulung serta dimasukkan dalam kotak khas berwarna putih dan kuning keemasan.

Difahamkan selain daripada majlis di KLCC ini, jamuan lain juga akan diadakan di Seri Perdana, PWTC dan juga Pekan, Pahang.

Majlis di Seri Perdana adalah untuk tetamu jemputan istimewa manakala di PWTC pula adalah untuk pemimpin dan ahli UMNO daripada seluruh negara. Di Pekan, Pahang yang merupakan kawasan Parlimen Najib, majlis juga diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengundi di kawasan itu.

Kemudian, majlis bertandang ke Kazakhstan juga akan berlangsung selepas itu.

Nooryana dan Daniyar bertemu ketika sama-sama menuntut di AS dan sudah mengikat tali pertunangan sejak 2011 yang lalu.

Ini bermakna  Mac depan adalah bulan yang menggembirakan bagi Najib  kerana dengan menerima menantu yang merupakan suatu kegembiraan bagi mana-mana ibu bapa sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan daripada pelbagai masalah politik yang dihadapi ketika ini.

Diucapkan selamat menerima menantu buat Najib dan Rosmah. Berita dan ulasan lain mengenai majlis perkahwinan yang dijangka gilang-gemilang ini akan menyusul lagi selepas ini, Insya Allah.

Inilah "kotak jemputan" untuk majlis perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah...


Kad jemputan dibuat dalam bentuk watikah yang digulung kemas...


Kad jawapan untuk para tetamu mengesahkan kehadiran masing-masing...

Tiada ulasan: