HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2015

Pas tidak akan bersama Umno!


Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim
 
 
SHAH ALAM - Pas tidak akan bergabung dengan Umno dan isu itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, maklumat yang sedang tersebar di media sosial mengenai isu itu tidak tepat.

"Sudah tidak terbilang kalinya ditegaskan tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini. Pas ada 21 kerusi Parlimen, Umno ada 88 kerusi Parlimen.

"Jika bergabung, Umno nak bagi berapa kerusi kepada Pas? 40? Dari sudut ini sahaja, tuduhan Pas akan bergabung dengan Umno sudah tidak masuk akal," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah menegaskan Pas tidak akan bergabung dengan Umno.

Menurutnya, isu seperti penggabungan dengan Umno mesti melalui keputusan muktamar dan bukan hanya melalui pandangan peribadi ahli.

Beliau berkata, jika alasan pihak yang ingin penggabungan Pas-Umno dilakukan adalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam, Umno sepatutnya sudah boleh melaksanakannya di semua negeri yang diperintahnya.

"Kalau hujahnya untuk perpaduan Melayu, biar orang Melayu bersama Pas bagi membentuk sebuah kerajaan baharu berteraskan Islam, dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah, salah guna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan Umno," katanya.

Beliau mempersoal niat Umno jika ia benar-benar ingin membantu Pas melaksanakan hukum hudud.

"Dalam saat Umno sedang kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun pengalaman lampau membuktikan apabila mereka kuat, mereka akan tendang Pas keluar daripada muafakat," katanya.

Menurutnya, amalan rasuah, salah guna kuasa, pengurusan ekonomi negara yang pincang dan tindakan menggunakan akta dan tindakan zalim untuk mendiamkan rakyat mesti dihentikan.

"Semua ini tidak akan dapat dicapai di atas tapak Umno yang korup," tegasnya.

Tiada ulasan: