HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2015

Pengasingan wajib Sisa Pepejal Isi Rumah Mulai September

RAKYATNEWS


sampah rakyatnews


 
PUTRAJAYA  - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menetapkan secara mandatori pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat mulai September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kutipan sisa yang diasingkan itu akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan dan dijalankan sepenuhnya di negeri yang menerima pakai Akta 672.

Negeri berkenaan termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Pelaksanaan peraturan baru itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan yang ketika ini semakin meruncing.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan kadar kitar semula dengan lebih giat lagi di peringkat kebangsaan," katanya berucap merasmikan Majlis Pelan Transformasi Minda ke arah negara bersih, indah dan sejahtera di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Muhyiddin berkata, Pelan Transformasi Minda yang menggariskan pelbagai strategi dan tindakan komprehensif akan menjadi antara agenda utama negara untuk memacu Malaysia ke status negara maju, serta menyemai minda kelas pertama dan budaya sivik yang cemerlang.

Kerajaan juga berharap pelan ini akan meletakkan Malaysia pada landasan betul dan terarah khususnya dalam mencapai hasrat untuk disenaraikan sebagai 10 negara yang terbersih di dunia menjelang 2020.

"Kerajaan berharap masyarakat akan dapat melihat secara matang keperluan memelihara alam sekitar, mengutamakan kebersihan, kelestarian dan keindahan persekitaran serta menghargai sisa pepejal sebagai salah satu sumber ekonomi kepada masyarakat," katanya.

Terdahulu ketika memulakan ucapan, Muhyiddin berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada tahun lalu saja.

"Ini adalah satu pembaziran kepada kerajaan dan kerugian kepada masyarakat sendiri sekiranya kita tidak dapat meningkatkan sikap dan perasaan lebih bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan kesihatan awam," katanya.

Kadar kitar semula nasional hari ini hanya berada di tahap 10.5 peratus saja dari jumlah bahan buangan yang dilupuskan, berbanding negara maju yang melebihi 40 peratus.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan kitar semula akan tetapi amalan ini masih belum mencapai sasaran, tambah Muhyiddin.

Disebabkan amaun bahan yang dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun pula dianggarkan sebanyak 2.3 juta tan dengan nilai mencecah RM900 juta, pastinya peningkatan kadar kitar semula akan membawa manfaat besar dari segi penggunaan semula sumber dan peningkatan ekonomi negara.

Tiada ulasan: