OLEH MUZLIZA MUSTAFA
Pascal Najadi, anak kepada pengasas
Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi yang ditembak mati
dua tahun lepas di Kuala Lumpur, berasa marah kerana pembunuh ayahnya
masih belum diberkas.
Menurut
Pascal (gambar, kiri), 47, yang juga terlibat dalam industri perbankan,
beliau kesal dengan pihak polis Malaysia dan Interpol kerana tidak
berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dalam mengesan dalang
pembunuhan itu.
Bercakap daripada Moscow, Rusia kepada The Malaysian Insider baru-baru
ini, Pascal, pengasas dan presiden firma penasihat antarabangsa
perbankan Switzerland, Najadi & Partners Ltd, berkata baginya,
Malaysia hanya mencetuskan kenangan sedih dan kecewa.
Katanya, sehingga sekarang, dia masih tidak tahu perkembangan siasatan
pembunuhan, serta di mana suspek utama yang didakwa mengupah lelaki
bersenjata membunuh ayahnya.
Najadi
(gambar, kanan), 75, ditembak mati pada Julai 2013 di tempat letak
kereta di hadapan sebuah kuil Cina dekat Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.
Isterinya Cheong Mei Kuen, 51, juga ditembak tetapi terselamat dan hanya cedera di tangan dan peha.
Pasangan itu berjalan menuju kereta mereka apabila seorang lelaki bersenjata mendekati mereka dan melepaskan beberapa tembakan.
"Tidak ada maklumat daripada Interpol atau polis Malaysia.
"Prestasi dan standard operasi polis Malaysia dan Interpol amat mengecewakan.
"Sehingga sekarang saya tidak dihubungi untuk dimaklumkan sebarang perkembangan.
"Saya mahu tahu kenapa pihak berkuasa gagal memberi maklumat terkini
kepada kami, keluarga mangsa, mengenai perkembangan kes termasuk
pergerakan suspek utama yang dikesan melarikan diri merentasi sempadan,"
katanya.
Menurut Pascal, sejak kejadian itu, polis hanya menghubunginya sekali.
"Sejak 2013, tidak ada sebarang komunikasi sehingga menimbulkan persoalan. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan Malaysia?"
Pascal mempersoalkan bagaimana polis membiarkan suspek utama kes
pembunuhan itu meninggalkan negara tanpa dapat dikesan ke Australia, dan
kemudian ke China.
"Jika penjenayah dibiarkan keluar sempadan tanpa dapat dikesan, persoalannya, siapa sasaran seterusnya," katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohamad Salleh yang kini Ketua
Polis Kuala Lumpur dalam sidang media Oktober 2013 berkata, tiga bulan
selepas pembunuhan itu, suspek utama, Lim Yuen Soo, 54, gagal menyerah
diri walaupun diberi peluang seminggu berbuat demikian.
Katanya, polis sudah memaklumkan kepada Interpol bagi mengesannya di
Australia. Suspek dilaporkan melarikan diri tiga hari selepas Najadi
ditembak mati.
Sebulan kemudian, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
memberitahu pemberita bahawa suspek melarikan diri ke China dan
menyenaraikannya individu paling dikehendaki dalam senarai merah
Interpol.
Tidak ada perkembangan lain selepas itu.
Pascal berkata, beliau mengupah penyiasat persendirian dengan bantuan
penasihat keselamatan daripada Rusia dan Kesatuan Eropah, mengenal pasti
suspek meninggalkan Australia ke Shanghai, China dengan penerbangan
berjadual. Namun jejak suspek berakhir di situ, menurutnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa meningkatkan usaha mencari dalang dan
membawanya ke mahkamah, selain mahu polis memaklumkan perkembangan
terkini siasatan kes kepada keluarga dari semasa ke semasa.
Katanya, terlalu banyak persoalan belum terjawab, salah satunya
kegagalan polis Malaysia memberi amaran kepada pihak berkuasa Australia
dari awal.
"Kenapa tidak beritahu AFP (Australian Federal Police) terlebih dahulu
ketika mereka tahu suspek melarikan diri dengan pasport biometrik
Malaysia ke Australia? Itu persoalan besar yang belum terjawab,"
katanya.
Sehingga kini, dua orang, penembak dan seorang pemandu teksi, didakwa di mahkamah kerana ada kaitan dengan pembunuhan itu.
Pemandu teksi, Chew Siang Chee didakwa kerana memiliki pistol dan
peluru yang dijumpai di peti surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas,
Jalan Sekutu, off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, sebulan selepas
pembunuhaan itu.
Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara 10 tahun serta enam
sebatan kerana memiliki pistol dan tambahan empat tahun penjara kerana
memiliki peluru.
Penembak, yang juga seorang penarik kereta, Kong Swee Kwan, 45, didakwa tahun lalu kerana membunuh Najadi.
Kong yang juga dikenali lelaki "empat mata" ditahan di sebuah rumah di
Taman Larut Tin, berdekatan pekan kecil di Pokok Assam, Taiping, Perak.
Beliau juga didakwa cuba membunuh isteri Najadi, Cheong pada waktu dan tempat yang sama.
Mahkamah Tinggi pada 5 September lalu menjatuhkan hukuman mati atas
kesalahan membunuh dan 18 tahun penjara kerana cubaan membunuh Cheong.
Khabar angin mengatakan motif pembunuhan ada kaitan dengan urusan jual
beli hartanah melibatkan kuil Cina yang dilawati Najadi sebelum dibunuh.
Polis bagaimanapun belum mengesahkannya.
"Saya tidak tahu. Perancang utama masih bebas di luar sana.
"Kami (keluarga) sudah semak semua kemungkinan. Ayah saya tidak
terlibat dengan mana-mana rundingan berkaitan kuil, dan jika benar, ia
berdasarkan tujuan peribadi dan tidak terlibat dengan rundingan itu.
"Setakat yang kami tahu, ayah tidak merancang menimbulkan kemarahan
mana-mana pihak. Jika ada sebarang masalah atau kesan buruk, dia akan
berundur," kata Pascal.
Beliau menyifatkan kejadian bunuh yang menimpa ayahnya sebagai amat
kejam dan membuatkannya bimbang akan keselamatan di Malaysia.
"Ini bukan hanya tentang kematian ayah saya sahaja. Jika orang awam
yang tidak bersalah boleh dibunuh ketika hari siang di sebuah negara
yang bangga dengan kestabilan dan kemakmurannya, persoalan mengenai
keselamatan rakyat masih tidak boleh terjawab," katanya.
Sementara itu, sumber polis yang rapat dengan siasatan kes ini
memberitahu The Malaysian Insider, sejak penahanan lelaki bersenjata
beberapa bulan kemudian, polis memerlukan masa mengaitkannya dengan
perancang utama.
Kumpulan Ambank ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai Bank Pembangunan
Arab-Malaysia oleh Najadi melalui syarikat AIAK (Arab Investment for
Asia Kuwait).
Najadi mengambil alih bank itu melalui Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1981
Tiada ulasan:
Catat Ulasan