Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP hari ini sekali lagi menyelar kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang mendakwa penguasaan Bahasa Inggeris di Malaysia berada di kedudukan nombor satu di kalangan negara-negara Asia.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, dakwaan tersebut jelas bercanggah dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dan kerajaan sendiri menerusi Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah mendedahkan bahawa walaupun 71 peratus daripada pelajar-pelajar kita mendapat sekurang-sekurangnya ‘kredit’ dalam Bahasa Malaysia di peringkat SPM 2013, namun hanya 45 peratus yang memperoleh kedudukan sama untuk Bahasa Inggeris.
“Laporan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) pula mendapati pada tahun yang sama, hanya 63.3 peratus daripada pelajar Tahun 1 mempunyai kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris dan ia jauh lebih rendah dari angka sasaran kerajaan, iaitu 67 peratus.
“Jelas terdapat jurang yang besar antara peratusan ini dan kadar sasaran 100 peratus pada Tahun Ketiga.
“Bahkan, Kementerian Pendidikan sendiri mengakui amat sukar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kerana ia memerlukan peningkatan lebih daripada 18 peratus setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP (DAPSY) turut menyatakan bahawa terdapat bukti kemahiran penggunaan Bahasa Inggeris di Malaysia merosot dari semasa ke semasa, seperti terkandung dalam laporan World Bank Malaysia Economic Monitor 2013 (Bank Dunia).
“Laporan World Bank Malaysia Economic Monitor 2013 menunjukkan bahawa generasi yang lebih berusia adalah lebih cekap menggunakan bahasa tersebut dan ini mungkin kerana sistem sekolah Inggeris penjajah pada masa dulu.
“Malah, prestasi guru-guru lebih berusia lebih baik daripada yang lebih muda dari segi penguasaan Bahasa Inggeris dan prestasi purata turut menurun apabila umur meningkat,” ujarnya.
Steven menegaskan, jalan terbaik untuk kerajaan sekarang adalah mengakui dan menyelesaikan masalah ini.
“Tindakan mengetepikan kelemahan tidak akan membawa sebarang kebaikan.
“Masalahnya, menteri-menteri kita nampaknya berpura-pura bahawa kelemahan ini tidak wujud dan segalanya adalah baik-baik saja.
“Inilah dia gejala bagaimana kerajaan mempercayai pembohongannya sendiri,” tegasnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan