Ketua Pembangkang Dun Selangor perlu ada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
SHAH ALAM - Adun BN Selangor disaran menyemak semula keputusan mereka tidak menamakan calon ketua pembangkang baharu pada persidangan Dun negeri ini yang bermula secara rasmi hari ini.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, walaupun kepimpinan BN Selangor memutuskan untuk memilih Mat Nadzari Ahmad Dahlan iaitu Adun Batang Kali sebagai Penyelaras Adun BN, jawatan berkenaan sebenarnya tidak diiktiraf Dun tersebut.

"Dalam Dun Selangor, memang tak diiktiraf jawatan penyelaras Adun kerana hanya jawatan rasmi iaitu jawatan ketua pembangkang saja yang diambil kira untuk terima semua keperluan serta elaun yang kita sediakan.

"Selain itu, hanya ketua pembangkang saja yang akan diberi keutamaan untuk menjadi pembahas terawal dalam perbahasan bajet negeri dalam sidang Dun nanti," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dun Selangor ke-13, di sini hari ini.

Jelas Yeoh, pihaknya juga telah menghantar dua surat rasmi kepada pimpinan BN Selangor supaya segera melantik ketua pembangkang berikutan jawatan itu penting untuk memantau dan menegur dalam pentadbiran Dun negeri ini.

Kerusi ketua pembangkang Dun Selangor kosong apabila penyandangnya, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias melepaskan jawatan tersebut kerana menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor.

Pelantikan ketua pembangkang bagi jawatan pengerusi PAC Selangor adalah berikutan persidangan Dun negeri itu pada 4 Disember lepas meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik bagi jawatan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Adun Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dilantik sebagai ketua pembangkang, Yeoh berkata hanya wakil daripada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan layak mengisi jawatan berkenaan.

"Abdul Khalid seorang saja mewakili Adun Bebas dan beliau tidak boleh menjadi ketua pembangkang kerana hanya wakil daripada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan saja layak dilantik.

Dalam keadaan ini, BN layak kerana ada 12 kerusi Dun," katanya.

Bagaimanapun, menurut Yeoh tiada sebarang penalti akan dikenakan kepada Adun BN kerana tidak menamakan calon ketua pembangkang Dun baharu. - Bernama