HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2015

Hanya ahli PAS layak tentukan kedudukan saya, kata Hadi

 THE MALAYSIAN INSIDER



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercayai mengulas sikap DAP yang  memutuskan hubungan dengan beliau tetapi mahu terus kekal bekerjasama dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Mac, 2015. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercayai mengulas sikap DAP yang memutuskan hubungan dengan beliau tetapi mahu terus kekal bekerjasama dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider.  



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan hanya ahli PAS yang boleh menentukan kedudukannya dalam parti itu, dan pihak lain tidak sepatutnya campur tangan.

"Ahli PAS yang menentukan kedudukan saya dalam kepimpinan PAS, itu hak ahli," katanya kepada media selepas kuliah Jumaat beliau di Masjid Rusila, Marang pagi ini.

Katanya, ahli PAS mempunyai pendirian masing-masing, "orang lain tidak sepatutnya mencampuri urusan pentadbiran PAS."


Hadi dipercayai mengulas sikap DAP yang memutuskan hubungan dengan beliau tetapi mahu terus kekal bekerjasama dengan PAS. Ia disifatkan usaha parti demokratik rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) itu menekan PAS agar memilih presiden lain bagi meneruskan kerjasama itu.

Tindakan DAP itu mendapat bantahan pelbagai pihak dalam parti Islam itu.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat peringkat kawasan yang sedang berlangsung, buat pertama kalinya PAS mempunyai calon lain yang layak mencabar jawatan presiden selain penyandangnya.

Naib Presiden Datuk Husam Musa setakat ini mendapat 2 pencalonan melayakkan beliau bertanding jawatan itu selain Hadi yang juga mendapat 2 pencalonan sehingga kini.

Husam mendapat pencalonan dari kawasan Kota Tinggi dan Batu Sapi manakala Hadi dari Shah Alam dan Kuala Kedah, kawasan yang sebenarnya dianggap kubu kepada mereka yang tidak menyukai kepimpinan Hadi.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ialah bekas Yang Dipertua PAS Shah Alam, manakala Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi ialah Yang Dipertua PAS Kuala Kedah.

Selain itu, bekas naib presiden PAS Ahmad Awang juga mendapat pencalonan pertama bertanding jawatan presiden. Beliau mendapat pencalonan dari kawasan Parit Sulong.

Setiap calon memerlukan sekurang-kurangnya 2 pencalonan untuk bertanding merebut jawatan dalam kepimpinan PAS.

Tiada ulasan: