HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mac 2015

Barah dalam pentadbiran negara



Oleh Ahmad Mustapha Hassan


Seorang menteri kerajaan baru-baru ini menyatakan bahawa perkhidmatan awam di negara ini memiliki 1.6 juta orang kakitangan, dan beliau amat berbangga dengan hakikat ini.Bukan jumlah yang penting, tetapi kualitinya. Malah peningkatan pesat dalam jumlah penjawat awam menjadikannya sangat susah untuk dikawal.

Walaupun banyak perkhidmatan barisan hadapan telah menjalani perubahan dramatik, birokrasinya yang terlalu besar dapat dilihat oleh semua pihak. Orang ramai masih menghadapi kelewatan dalam permohonan mereka, dan apabila mereka bertanyakan status permohonan mereka atau status permintaan mereka, mereka tidak mendapat jawapan.

Barah dalam pentadbiran negara
Kerenah birokrasi menyekat pergerakan kerana kekurangan penyelarasan yang betul. Tempoh berbulan-bulan berlalu. Orang ramai terus tidak pasti dan kecewa.

Pentadbiran itu bergerak dengan perlahan dan tidak ada mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam berusaha untuk merungkaikan budaya ini. Apabila kerajaan membentangkan Belanjawan 2015 hanya beberapa bulan yang lalu, jumlah kakitangan perkhidmatan awam ialah 1.4 juta. Dan kini dalam tempoh beberapa minggu ia telah melonjak kepada 1.6 juta. Ini sukar dibayangkan fikiran.

Telah dinyatakan bahawa gaji kakitangan awam untuk tahun 2015 akan berjumlah sehingga RM65.6 bilion, atau 24 peratus daripada jumlah peruntukan bajet. Oleh itu wang yang dibayar oleh rakyat sebagai cukai bermakna bahawa bagi setiap ringgit, 24 sen akan digunakan membayar gaji kakitangan awam.

Bukan saiznya yang besar sahaja yang mengejutkan. Malahan jumlah menteri-menteri kabinet telah turut mengatasi negara-negara lain yang mempunyai jumlah penduduk yang sama dengan Malaysia, 30 juta. Pejabat Perdana Menteri sahaja mempunyai sepuluh menteri kabinet. Selain itu, ada anggota-anggota kontrak yang dibayar lumayan.

Pendedahan terbaru bahawa hampir setiap ketua Umno Baru sama ada yang diundi ataupun tidak, diberikan beberapa jenis jawatan dalam kerajaan adalah amat mengejutkan. Ini tidak dilakukan bagi meningkatkan kecekapan, tetapi sebagai ganjaran kerana menyokong parti itu dan kerajaan.


Pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bahawa bayaran bulanan sebanyak RM50,000 bagi setiap ketua bahagian Umno Baru, adalah ibarat 'merompak' wang rakyat. Beliau dilaporkan berkata, "Hari ini pemimpin-pemimpin bahagian dan juga ahli parlimen Umno menjana pendapatan sehingga RM50,000 sebulan, malah ada yang menerima beratus-ratus ribu."

Dan tidak ada disebut tentang sumbangan orang-orang ini, dan juga keberanian dan kebolehan mereka.

Pada masa kini, hampir semua orang menggunakan gelaran Dr di hadapan nama mereka, yang menunjukkan bahawa mereka telah memperolehi Ph.D. Tetapi kualiti dan kewibawaan mereka tidak menepati kedudukan akademik mereka, jika ianya tulen.

Kerajaan enggan mengecilkan jumlah penjawat-penjawat awam di negara ini kerana takut kehilangan undi. Bagi mereka ia adalah bank undi yang perlu dibina dan dipupuk. Ini adalah mentaliti serong. Ia bukan bagi kepentingan rakyat dan negara, tetapi lebih untuk memastikan kelangsungan parti yang berkuasa. Tidak menghairankan bahawa negara ini sedang menjadi bahan jenaka di Asean.

Kakitangan awam pada masa lalu, apabila negara mencapai kemerdekaan, berteraskan rakyat.Mereka tidak takut untuk membangkang bos-bos politik mereka. Mereka dahulunya terikat dengan prosedur-prosedur kerajaan, dalam segala apa yang mereka lakukan. Selagi permintaan bos politik mereka menuruti peruntukan Perintah Am dan Kewangan, maka permintaan itu akan dilayan. Jika tidak, bos-bos politik ini akan diberitahu bahawa permintaan mereka tidak memenuhi peruntukan Perintah Am dan Kewangan.

Penjawat awam mungkin akan dipindahkan kerana ini, tetapi ikrar mereka adalah untuk berkhidmat kepada negara, dan bukannya tuan-tuan politik mereka.

Adalah menyedihkan bahawa perkhidmatan awam telah memberi laluan kepada ahli-ahli politik kerana kepentingan peribadi dan tertentu. Sudah tentu mutu telah terjejas, dan ia adalah satu kehilangan kepada negara dan bangsa.

Kualiti kepimpinan politik negara telah merosot. Dilihat dari pelbagai komen dan kenyataan yang dibuat oleh menteri-menteri kabinet, telah dibuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah bahawa mereka tidak layak duduk di kabinet, dan tidak pula mereka layak berada dalam kerajaan untuk menentukan nasib negara.

Tidak ada sedikitpun kecerdasan di kalangan menteri-menteri.

Negara ini telah hilang kerajaan yang cekap dan boleh dipercayai kerana adanya barah jasad dan mental. Dan apa yang paling buruk adalah, orang-orang yang mengetuai negara ini tidak menyedari semua ini langsung. Kasihan Malaysia!       

Ahmad Mustapha Hassan merupakan bekas setiausaha akhbar perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Beliau juga penulis buku berjudul, "The Unmaking of Malaysia".


Tiada ulasan: