HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2015

Kurang maklumat daripada PAS punca timbul salah faham terhadap hudud

Oleh Shuhaniza Said
 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Penentangan dan bantahan pelbagai pihak terhadap hasrat PAS yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan disebabkan kelemahan parti itu sendiri yang gagal memberikan maklumat serta kefahaman jelas bersabit undang-undang jenayah Islam berkenaan.
 
Menurut penganalisis politik, Dr Jeniri Amir, selain percanggahan hukum itu dengan Perlembagaan Negara PAS juga gagal dalam usaha menyakinkan masyarakat terhadap hukum berkenaan sehingga timbul persepsi negatif segelintir pihak yang melabel ianya undang-undang kejam dan zalim. 
 
"Penjelasan yang betul-betul efektif, menggemblingkan segala usaha di pihak PAS barangkalai perlu dilakukan bagi mengikis segala salah faham dan prasangka terhadap hudud," katanya kepada Antarapos.
 
Jeniri berkata demikian sebagai mengulas penentangan dua sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR, yang menyaksikan gagasan pembangkang berkenaan dilanda krisis teruk sejak isu Menteri Besar Selangor, beberapa bulan lalu.  
 
Selain itu, hasrat PAS itu turut mendapat tentangan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA, MIC dan Gerakan. 
 
Mengulas lanjut perkembangan terbaru yang menyaksikan DAP bertindak memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ujar Jeniri, tindakan itu membuktikan bahawa kesepakatan yang diikrar menerusi perjanjian masih belum cukup menyingkir rasa 'tidak puas hati' DAP terhadap agenda PAS, khususnya hudud.
 
Ini kerana ujar pensyarah kanan Unimas itu lagi, DAP tetap berpendirian menolak hukum berkenaan kerana mahu menjaga hati pengundi bukan Melayu yang telah menyokong Pakatan Rakyat. 
 
Oleh itu, ujarnya, hudud terpaksa diakui sebagai salah satu faktor yang berkemungkinan bakal menyebabkan sokongan pengundi terhadap gagasan pembangkan itu merosot.       
 
"Isu ini telah menyebabkan hubungan (pakatan) retak besar, jadi akan berlakunya konflik tuduh menuduh, lemparan kritikan dna kenyataan yang menyinggug perasaan, khususnya PAS. Kenyataan DAP itu betul-betul menyinggung perasaan PAS yang betul-betul memperjuangkan perjuangan itu.
 
"Dari segi itu kita tak dapat nafikan bahawa isu hudud ini  boleh menjejaskan bukan saja hubungan dalam kalangan PR tapi kemungkinan besar menyebabkan mereka yang telah mengundi DAP dan PKR sebelum ini malah penyokong PAS berfikir untuk menilai semula sokongan mereka terhadap PR itu," ujarnya lagi.
 
Namun tambah beliau, masa depan Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan di dewan rakyat, apabila rang undang-undang berkenaan dibentangkan kelak. 
 
"Kalau gagal di peringkat dewan rakyat, itu (hudud) bukan jadi isu besar, kalau kemungkinan itu (gagal dapat sokongan undi) berlaku, keadaan hubungan ini akan perlahan-lahan pulih kembali dan tanggapan rakyat atau pengundi akan kembali seperti sediakala," ujarnya.
 
Pada 19 Mac lalu, DUN Kelantan meluluskan sebulat suara Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) yang turut disokong wakil rakyat Umno dan PKR.
 
Rakan PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR sepakat tidak akan menyokong rang undang-undang itu, bahkan DAP membuat keputusan menamatkan hubungan dengan Hadi susulan perkara itu walaupun kekal bekerjasama dengan PAS.
 
 

Tiada ulasan: