HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2015

Ambil masa sesuaikan diri dengan GST


Ambil masa sesuaikan diri dengan GST Mohamad Hisam (tengah) bersama kakitangannya di Pejabat Urusan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
 
 
 
IPOH – Pemain industri pelancongan dijangka mengambil masa selama enam bulan hingga ke satu tahun bagi menyelaraskan sistem GST yang dikuatkuasakan esok.
 
Pengurus Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, Mohamad Hisam Mohamad Yusof berkata, masih terdapat beberapa perkara yang kurang jelas mengenai pelaksanaan GST dan semua pemain industri sedang mengumpulkan input untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
 
Menurutnya, satu daripada isu yang timbul dalam kalangan ejen pelancongan adalah pengeluaran invois berasingan kepada pelanggan yang mungkin boleh membangkitkan kekeliruan.
 
“Jika seseorang menempah tiket penerbangan ke London dari sebuah agensi pelancongan dan dicaj RM50 untuk yuran perkhidmatan, adakah kita perlu mengeluarkan invois berasingan apabila GST dilaksanakan?
 
“Begitu juga dengan urusan dengan syarikat atau badan yang membuat tempahan melalui margin berskala besar, kebiasaannya bayaran akan diterima sebulan atau lebih, jadi berlaku masalah ‘cash flow’ kerana kita perlu dahulukan bayaran GST walaupun bayaran daripada pihak ditempah belum diperoleh,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Mohamad Hisam berkata, pelaksanaan GST bagi industri pelancongan adalah sangat kompleks kerana ia melibatkan penjualan produk dan perkhidmatan dikenakan kadar standard, kadar sifar, malah ada juga yang tidak dikenakan cukai.
 
“Di samping itu, penjualan pakej pelancongan serantau membuatkan GST lebih kompleks dan memerlukan kakitangan terlatih untuk menangani isu-isu untuk mengemukakan tuntutan GST dengan tepat.
 
“Namun begitu, pelaksanaan GST pada masa ini tidak menyebabkan penurunan jualan tiket tetapi orang ramai masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menyesuaikan keadaan bagi menghadapi GST,” katanya. 
 
Mohamad Hisam berkata, daripada segi sistem dan pelaksanaan cukai baharu terbabit, pihaknya sudah bersedia secara teknikal walaupun terdapat beberapa perkara belum mendapat kata putus.
 
 

Tiada ulasan: