MALAYSIAKINI
Penasihat DAP Lim Kit Siang menjangkakan bahawa PAS mungkin akan tewas
sehabisnya dalam pilihan raya umum akan datang jika terus berkeras untuk
melaksanakan hudud.
Katanya, saki baki PAS hanya akan tinggal di beberapa negeri di utara,
dan mungkin akan gagal membentuk kerajaan di kubu kuatnya, Kelantan.
Lim berkata, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat akan terjejas jika
gabungan parti itu berpecah, namun PAS akan menganggung kerugian paling
teruk.
“Dengan kehilangan 30 peratus undi bukan Islam, PAS akan kehilangan
tujuh kerusi parlimen dan 29 kerusi DUN yang dimenanginya dalam pilihan
raya umum ke-13.
“PAS akan tewas sehabisnya di Johor, Perak dan Melaka dan hampir tewas
di Selangor, Pahang dan Kedah,” kata Lim dalam kenyataannya.
Katanya, PAS sepatutnya sedar bahawa parti itu tidak boleh meraih
sokongan pengundi Melayu-Islam dengan mudah, berdasarkan kekalahan di
Terengganu (2004) dan Kedah (2013).
Lim turut mengulangi anjurannya agar Pakatan dan BN bekerjasama, namun
menjelaskan bahawa ia bukan untuk membentuk kerajaan perpaduan.
"Saya menekankan bahawa gabungan pasca-BN, pasca-Pakatan di peringkat
persekutuan sebelum pilihan raya umum ke-13 perlu melibatkan pelbagai
bangsa, agama dan wilayah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan