HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2015

'Siasatan polis bukan sekadar berita hudud'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua pegawai eksekutif The Malaysian Insider (TMI) Jahabar Sadiq, yang kini ditahan di lokap, membayangkan siasatan polis terhadapnya dan empat lagi editor ada niat lain.

"Tangkapan-tangkapan ini nampaknya melebihi laporan kami tentang satu berita hudud," katanya seperti dilaporkan portal itu sebelum beliau ditangkap pagi ini.

Jahabar bersama Ho Kay Tat, penerbit syarikat pemiliknya The Edge Media Group, ditahan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Mereka hadir memberikan keterangan berhubung laporan Majlis Raja-Raja Melayu menolak hudud. Majlis itu berkata laporan itu palsu.

Selain mereka, tiga lagi anggota sidang pengarang TMI - editor urusan Lionel Morais, editor berita edisi Melayu Amin Iskandar dan editor rencana Zulkifli Sulong - ditangkap semalam untuk siasatan bawah Seksyen 4 Akta Hasutan and Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jahabar bagaimanapun tidak menjelaskan laporan-laporan lain yang dimaksudkan dan keadaan ini membuka spekulasi bahawa ia mungkin berkaitan siri laporannya tentang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak beberapa bulan lalu, TMI dan harian niaga The Edge, telah mendedahkan isu-isu panas mengenai skandal 1MDB, termasuk mengaitkannya dengan hartawan Jho Low, yang selalu dikaitkan dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
 
 

Tiada ulasan: