HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2015

Guan Eng umpama peluru kosong – Hadi Awang

 
Kita dahulukan orang Islam dalam aspek dan ruang yang kita boleh laksanakan (hukum) syariah untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam.


lim hadi



MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘memulangkan paku buah keras’ kepada DAP yang memutuskan hubungan dengan beliau apabila menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng umpama ‘peluru kosong’.

Katanya, segala `serangan’ Guan Eng tempoh hari termasuk menganggap dirinya tidak bermaruah, tidak jujur dan pengkhianat langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap beliau.

Malah tegas Abdul Hadi, perbuatan DAP yang dianggap biadab dan melampau oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS itu juga tidak akan mematahkan semangat perjuangan beliau serta PAS untuk kepentingan semua kaum di negara ini.

“Kenyataannya peluru kosong, tidak kena sasaran kerana segala tindakan PAS mengambil kira kepentingan semua kaum yang ada di negara ini, berbanding DAP yang mementingkan satu kaum saja.

“Dia (DAP) tak ambil hati orang Islam yang merupakan 60 peratus daripada penduduk (Malaysia), dia kena sedar dan orang Islam jangan diapa-apakan kedudukan mereka. Usul yang kita bawa ini (Hudud) tak sentuh orang bukan Islam, kenapa dia timbulkan isu ini?.

“Kita dahulukan orang Islam dalam aspek dan ruang yang kita boleh laksanakan (hukum) syariah untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam agar melihat apa itu Islam. Adakah dia takut yang kita nak tunjukkan Islam? Jangan takut,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng Selasa lalu bahawa DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan Hudud di Kelantan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, Guan Eng tidak berhak untuk menilai dirinya sama ada mempunyai maruah atau tidak, sebaliknya terserah kepada rakyat untuk menilai.

“Yang menentukan maruah saya bukan dia (Guan Eng), rakyat yang tentukan maruah saya.
Alhamdulillah, saya dapat tentukan maruah saya dengan Islam. Pegangan saya dengan Islam melalui kerjasama dengan semua pihak dalam pakatan pembangkang serta bergantung kepada perlembagaan dan hala tuju PAS,” jelasnya.

Ujar beliau, semua parti dalam pakatan pembangkang telah mencapai persetujuan berkaitan dasar serta matlamat parti masing-masing.

Malah, kata Abdul Hadi, sebelum ini beliau sendiri bersama-sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani perjanjian bersama.

“Kita sudah ada perjanjian yang dibuat dan ditandatangani bersama oleh saya, Kit Siang dan Anwar iaitu kita terima hakikat DAP tak setuju (pelaksanaan hudud), tetapi saya mengatakan apa yang saya bawa ini untuk orang Islam, tidak berkait dengan orang bukan Islam dan tak perlu dia (Guan Eng) melenting,’’ katanya.

Tiada ulasan: