HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2015

#KitaLawan: Jangan timbulkan provokasi – Azmin Ali

 
PR sentiasa mengadakan perbincangan dan yakin semua masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan baik.


AZMIN_ALI_SELANGOR_MB_220914_TMINAJJUA_02



KLANG : Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini menasihati peserta yang menyertai demonstrasi #KitaLawan agar menghormati perlembagaan Malaysia dan tidak menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak.

Tegasnya, walaupun demonstrasi itu dibenarkan di dalam perlembagaan, mereka yang menyertainya seharusnya tidak menimbulkan masalah.

“Demonstrasi itu dibenarkan oleh perlembagaan dan jangan timbulkan masalah. Semua pihak harus menghormati perlembagaan dan jangan timbulkan provokasi,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Fasa A6 dan A7 di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk menangkap mana-mana individu yang menyertai perhimpunan #KitaLawan

Katanya, pasukannya memantau individu yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan tersebut.

“Jika kami berasa ia akan membawa kekacauan, kami akan bertindak,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan DAP Sarawak yang meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) di negeri berkenaan, Azmin berkata, PR sentiasa mengadakan perbincangan dan yakin semua masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya sedia maklum semua perkembangan dan kita boleh selesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau turut diminta mengulas mengenai kewujudan Pakatan Rakyat Baru di Sabah dan berkata, pihaknya mahu menguatkan PR dan percaya dengan kesabaran daripada pemimpin PR perkara ini dapat diselesaikan dengan baik

Pada 26 Mac lalu, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong berkata, PAS bakal disisihkan dalam gabungan pembangkang dikenali Pakatan Rakyat Baharu yang akan dibentuk di Sabah.

Wong berkata, gabungan itu hanya dengan PKR, selari dengan gesaan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam pembentukan ‘Gabungan Selamatkan Malaysia.

“Seperti yang dikatakan Lim mengenai Gabungan Selamatkan Malaysia, kami mahu cadangkan gabungan baru di Sabah dikenali sebagai Pakatan Rakyat Baharu,” katanya.

Tiada ulasan: