Pelajar sekolah jadi wira antirasuah Maznah (tengah) bersama Penolong Penguasa SPRM, Ho Ka Nyan (kanan) dan Pemangku Penguasa Kanan SPRM, Awang Ali Awang Abdul Rahman menunjukkan risalah kempen.
 
 
 
PUTRAJAYA – Pelantikan pelajar sekolah sebagai wira antirasuah merupakan antara program menarik sempena kempen Wira Antirasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan dilancarkan 2 April ini.

Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan SPRM (Cawangan Pendidikan), Maznah Che Musa berkata, pemilihan pelajar yang akan menjadi ikon antirasuah itu dibuat oleh guru berdasarkan sahsiah baik ditunjukkan pelajar berkenaan.

“Menerusi kempen ini, guru akan melaksanakan program dan menilai pelajar yang layak untuk diangkat sebagai wira antirasuah. Pada hari pelantikan, SPRM akan memberi satu lencana khas kepada pelajar terpilih bagi mengiktirafnya sebagai ikon dan ejen kepada SPRM.

“Tugas utama wira antirasuah di sekolah adalah untuk menunjukkan contoh dan sahsiah yang baik kepada pelajar lain. Kita mahu pelajar faham bahawa rasuah tidak akan berlaku dengan adanya sahsiah dan nilai moral yang tinggi,” katanya, semalam.

Menurut Maznah, kempen Wira Antirasuah merupakan kesinambungan kejayaan kempen sama yang dilaksanakan tahun lalu di tujuh sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

Katanya, tujuan utama kempen itu adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai usaha pencegahan rasuah.

“Pada usia kanak-kanak, masih ramai tidak faham apa itu rasuah. Jadi kita cuba beri pendidikan kepada pelajar sekolah untuk mengetahui sebab dan akibat rasuah.

“Kesedaran awal ini penting agar mereka tidak mengamalkannya ketika menginjak dewasa. Kita juga mahu jadikan satu budaya dalam masyarakat untuk membenci rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen tersebut juga meliputi dua program utama lain iaitu majlis pelancaran kempen Wira Antirasuah dan lawatan pelajar ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Sewaktu pelancaran, kita akan beri sesi taklimat selain memperkenalkan SPRM kepada pelajar. Kemudian, kita beri peluang selama sebulan kepada guru untuk melaksanakan program yang telah diatur dengan pelajar.

“Aktiviti kemuncak ialah lawatan ke SPRM yang akan turut disertai ibu bapa dan guru,” katanya.

Katanya, SPRM juga akan melancarkan satu komik khas menampilkan watak kartun Old Master Q yang berkisarkan nilai moral dan integriti.

Uji tahap pemahaman pelajar mengenai rasuah

Maznah berkata, tahun ini kempen Wira Antirasuah turut diperluaskan ke sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah menengah kebangsaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menurutnya, bagi kempen di sekolah menengah, terdapat beberapa program tambahan seiring dengan peningkatan usia pelajar.

“Antaranya ialah pertandingan esei serta sketsa untuk menguji tahap pemahaman mereka mengenai rasuah. Kempen ini perlu diteruskan di sekolah menengah supaya terdapat kesinambungan dari apa yang mereka pelajari di sekolah rendah,” katanya.

Sebagai kelainan untuk kempen tahun ini, katanya, pelaksanaannya juga akan diperluaskan kepada guru dan pentadbir sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan kempen Wira Antirasuah untuk memasuki lima SJKC, SJKT, SK dan sekolah menengah.

“Sebagai permulaan, kita cuma sasarkan lima sekolah bagi setiap jenis sekolah di negeri berbeza. Tetapi kita harap sekolah yang dipilih dapat menyebarkan manfaat kempen kepada sekolah lain di negeri mereka.

“Pemilihan sekolah ini juga bergantung pada guru besar dan pengetua yang ingin bekerjasama dengan kami. Malah, kami juga menyerahkan kepada guru besar dan pengetua untuk memilih masa sesuai melaksanakan program agar tidak mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Maznah berkata, sekolah yang berminat untuk menyertai kempen boleh menghubungi SPRM di cawanganpendidikan@sprm.gov.my.