MALAYSIAKINI
Tidak berlaku sebarang proses mengislamkan Sabrina Ngumbang dan pelajar
tingkatan satu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lutong itu masih penganut
agama Kristian, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga
Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.
Mengulas mengenai isu membabitkan pemberian baju kurung dan telekung
kepada pelajar itu sehingga menjadi viral media sosial, Fatimah
menjelaskan, Sabrina masih bawah umur untuk membuat keputusan., lapor Borneo Post Online.
“Dia masih bawah umur untuk sebarang keputusan walaupun menyatakan minat
untuk memeluk Islam kepada gurunya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Sabrina,
keluarganya, pihak gereja, guru dan Pengetua SMK Lutong, Marcus Hugo,
petang semalam.
Jelas Fatimah, Sabrina belum memeluk Islam kerana tidak berlaku sebarang
proses pengislaman malah proses itu belum sampai ke jabatan agama
Islam.
“Isu ini tamat di rumah dan ada bantahan daripada pihak gereja. Proses
tidak diterus dan Sabrina masih penganut agama Kristian yang sah,” jelas
beliau, seperti dilaporkan media tempatan itu.
Borneo Post melaporkan, isu pengislamannya timbul apabila pada
12 Mac lalu, Sabrina menemui seorang guru dan menyatakan minat memeluk
agama Islam.
“Walaupun dia sendiri menyatakan minat memeluk Islam, tetapi masih bawah
18 tahun, ibu bapa sebagai penjaga sah berhak untuk dirujuk,” tegas
Fatimah.
Ibu bapa Sabrina melaporkan kes tersebut polis petang kelmarin.
Setelah semua pihak terlibat bersemuka dan berbincang, Fatimah berkata,
kes itu harus dijadikan iktibar kepada guru terutamanya mengenai hak
pelajar bawah umur.
Beliau menambah, setakat ini tidak wujud senarai pelajar atau jumlah
pelajar yang disasar untuk diislamkan seperti yang diuar-uar di laman
sosial berhubung kes Sabrina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan