GST
 
 
 
DENGAN penganjuran pelbagai kempen kesedaran mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), umum kini mengetahui bahawa GST akan berkuatkuasa pada 1 April 2015.

Walau bagaimanapun, GST masih merupakan konsep yang asing bagi kebanyakan pihak. Secara ringkasnya, GST adalah cukai berperingkat yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.

GST telah diimplementasikan oleh 160 buah negara di dunia, termasuk negara-negara di rantau Asean seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Kesemua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus melainkan barangan atau perkhidmatan yang disenaraikan sebagai pembekalan berkadar sifar atau pembekalan dikecualikan.

Contoh pembekalan dikecualikan adalah seperti hartanah kediaman, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan penjagaan anak dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta. Contoh barangan yang tergolong dalam kategori pembekalan berkadar sifar pula adalah seperti beras, gula, ayam, telur, ikan dan udang.

Ini berlandaskan mekanisme di mana kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mempunyai kos pengeluaran yang berkurangan setelah GST dikuatkuasakan. Sebagai contoh, cukai jualan sedia ada telah ditetapkan sebanyak 10 peratus, satu nilai yang lebih tinggi berbanding GST yang telah ditetapkan sebanyak enam peratus.

Walaupun tidak dipamerkan di dalam tanda harga, cukai jualan sedia ada selalunya dimasukkan di dalam harga jualan sesuatu barangan. GST pula akan tertera pada resit pembayaran barangan dan perkhidmatan, dan ini akan menyebabkan sesetengah pihak untuk menyalah ertikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Secara teorinya, jika sesuatu barang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah, harga jualan bagi barangan tersebut juga akan menurun. Namun demikian, daripada segi realitinya, akan terdapat pelbagai pengusaha dan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang akan menggunakan persepsi salah masyarakat terhadap konsep GST untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Berikutan itu, kerajaan menjangkakan kehadiran segelintir pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga yang tidak bertanggung jawab dan telah bersedia dengan polisi-polisi bagi membanteras eksploitasi yang akan berlaku.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dipinda bagi melarang kenaikan margin keuntungan bersih bermula pada 2 Januari 2015 kepada 30 Jun 2016.

Peniaga atau pengusaha hanya boleh menaikkan harga jualan sesuatu barangan atau perkhidmatan sekiranya terdapat kenaikan dalam kos pengeluaran. Berikutan GST akan menurunkan kos pengeluaran kebanyakan barangan dan perkhidmatan di dalam negara, kos kehidupan tidak akan meningkat seperti yang menjadi spekulasi ramai pengkritik.

Diakui bahawa kewujudan polisi yang baik di atas kertas sahaja tidak mencukupi. Menyenaraikan apa yang termaktub di dalam undang-undang adalah tidak sama dengan memastikan ianya dikuatkuasakan dengan berkesan.

Berikutan itu, akta ini mempunyai pindaan yang membolehkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memberi kuasa kepada mana-mana pegawai awam atau pegawai daripada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan mana-mana kuasa di bawah akta ini.

Kerajaan juga telah meluluskan 472 perjawatan baru kepada Kementerian untuk memperkukuhkan penguatkuasaan Akta ini. Diyakini bahawa kerajaan telah bersiap sedia dalam memastikan penguatkuasaan GST akan berlaku dengan lancar, terutamanya kepada pengguna.

* AZLAN ABDULLAH: PENULIS IALAH EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA, PENGERUSI BIRO EKONOMI DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN (BEPU)