HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2015

UKM jawab pelajar isu tak cukup bekalan air


Air UKM
 
 
 
BANGI – Kedudukan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di antara kawasan paling tinggi di Hulu Langat merupakan punca bekalan air sering terputus di kawasan pengajian itu.

Menurut Pengarah Pusat Strategi UKM, Datuk Dr Mohd Marzuki Mustafa, ​faktor tersebut menyebabkan tekanan air rendah dan bekalan air tidak dapat disalirkan dengan sempurna.

“Kalau kita pergi tengok bacaan tekanan air yang terdapat sistem perpaipan air di institut ini, kita akan dapat lihat bahawa tekanan air yang dicatatkan di bawah paras stabil.

“Bukan sahaja pelajar, bahkan kakitangan kami juga menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Hari ini satu memorandum Tuntutan Air Pelajar UKM telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming bagi menyiasat aduan terhadap masalah bekalan air yang didakwa dihadapi sejak lebih 10 tahun lalu.

Penyerahan memorandum tersebut disertai kira-kira 100 mahasiswa dan mahasiswi di hadapan bangunan Canselori UKM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UKM derita 10 tahun tak cukup bekalan air]

Menyangkal dakwaan sikap ‘ambil mudah’ pengurusan dan pentadbiran menjadi punca permasalahan tersebut, Marzuki sebaliknya menjelaskan masalah yang berlaku berpunca daripada penutupan penyaluran bekalan air oleh pihak Syabas.

“Memang diakui universiti berdepan dengan masalah air sepanjang tahun, namun jika ia merujuk kepada ketiadaan air seperti yang didakwa berlaku sejak dua hingga tiga minggu yang lalu, pihak Syabas sendiri terpaksa tutup bekalan air kerana terdapat pencemaran dalam kandungan air yang disalurkan.

“Bila mereka tutup bekalan air, ia mengambil masa sehingga dua atau tiga minggu untuk memastikan semula bekalan air diperoleh kerana pihak Syabas menyalurkan air ke beberapa kawasan lagi selain Hulu Langat,” katanya ketika ditemui Sinar Online, hari ini.

Sehubungan dengan itu, untuk membantu pelajar menghadapi krisis tersebut, pihaknya bersetuju mempertimbang cadangan Ahli Parlimen Serdang yang menggesa supaya notis pemberitahuan mengenai ketiadaan bekalan dan jadual catuan bekalan air dipampang di laman web rasmi dan laman sosial rasmi milik UKM.

“Kami akan meningkatkan lagi kemudahan kepada pelajar dengan cara tersebut. Menerusi cara itu ia akan memudahkan pelajar-pelajar yang mengalami masalah ini untuk membuat catuan air dengan lebih mudah dan selamat,” katanya lagi.

Cubaan Sinar Online untuk mendapatkan maklum balas pihak Syabas berkaitan isu ini bagaimanapun tidak berhasil kerana panggilan tidak berjawab

Tiada ulasan: