HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mac 2015

Tiada isu politik dalam perjanjian air jika Pusat bersikap telus - Azmin

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata isu rundingan perjanjian air hanya akan selesai tanpa sebarang polemik politik jika kerajaan pusat bersikap telus.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini supaya penstrukturan semula industri air Selangor tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan rakyat negeri itu.
 
"Sememangnya ia menjadi komitmen kerajaan negeri. Saya sudah menyatakan berulang kali bahawa kita komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian yang telah ditandatangani. 
 
"Dan ini ditegaskan oleh Tuanku supaya kerajaan negeri memelihara kedaulatan negeri selangor. Ini juga menjadi prinsip kita supaya semua perjanjian yang telah ditandatangani dihormati oleh kedua-dua belah pihak dan jangan dipolitikkan kerana ia demi kepentingan pengguna dan rakyat selangor," katanya yang ditemui media selepas Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN yang ketiga belas, pagi tadi.
 
Ketika merasmikan pembukaan DUN Selangor hari ini, Sultan Selangor menitahkan supaya isu penstrukturan semula air di negeri ini tidak dipolitikkan sehingga akhirnya menidakkan keperluan rakyat.
 
Baginda turut mencadangkan pendekatan bersemuka dan berbincang perlu diambil antara kerajaan negeri dan pusat untuk menyelesaikan hal tersebut secara adil dan efisien.
 
Awal bulan ini, Azmin bertindak membatalkan perjanjian itu selepas mendakwa Putrajaya mahu mengambil alih tanah dan aset Selangor yang di luar Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air yang dimeterai pada September lalu. 
 
Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata isu tanah itu terkandung dalam perjanjian berkenaan dan menjelaskan pihaknya hanya meminta tanah itu dipajak atau di rizabkan kepada kerajaan Persekutuan selama 45 tahun sebelum di pulangkan semula kepada kerajaan negeri. 
 
Beliau juga menggariskan beberapa peruntukan di bawah perjanjian itu yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri. 
 
Azmin kemudiannya menukar nada dan menggesa Datuk Seri Najib Razak 'campur tangan' dalam isu itu, namun Perdana Menteri menegaskan untuk memberi mandat sepenuhnya kepada kementerian yang berkenaan.
 
Azmin turut memberitahu beliau akan berjumpa Najib dalam waktu terdekat untuk menyelesaikan isu berkenaan.
 
Sementara itu, ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor itu menyelar prinsip kerajaan negeri yang sentiasa berubah dengan seolah-olah meletakkan kesalahan kepada kerajaan pusat semata-mata.
 
"(Perjanjian) sudah ditandatangani, jadi mengapa ia mesti dipolemikkan dan menjadi bahan politik? Pada pandangan saya ia satu keputusan yang sentiasa berubah. Hari ini setuju, kemudian tidak setuju. Kita tidak mahu ada tafsiran baru seperti ia kesalahan kerajaan pusat.
 
"Sedangkan kita akur dengan terma yang sudah ditandatangani bersama," ujarnya Mat Nadzari yang juga Penyelaras Pembangkang Dun Selangor.
 
Selepas dikritik banyak pihak, Azmin minggu lalu mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menimbang untuk memajak tanah tersebut bagi membolehkan perjanjian air itu diteruskan.
 
Untuk rekod, Perjanjian Utama (MoA) air itu ditandatangani oleh Kementerian Tenaga, Teknolgi Hijau dan Air (KeTTHA) dan mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 12 September lalu.
 
Ia bagi membolehkan kerajaan negeri memperolehi bantuan Putrajaya bagi mengambil air aset empat syarikat konsesi dan menguruskan sendiri industri air di Selangor.
 
 

Tiada ulasan: