Gara-gara pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) oleh DUN Kelantan ia bukan sahaja menyesatkan kepala orang ramai yang tidak faham atau mahu faham dengan undang-undang itu, tetapi perdana menteri Najib Razak juga terkena bahana itu.
Hari ini Najib masih diam membisu untuk menyatakan sikap berhubung undang-undang berkenaan. Sebelum ini jurucakap Umno yang juga bertindak bagi pihak PM, Teuku Adnan Teuku Mansor dilaporkan berkata Najib akan menyatakan pendirian mengenai Hudud pada 24 Mac.
Ekoran kenyataan Teuku Adnan itu menyebabkan orang ramai ternanti-nanti untuk mendengar apakah sikap Najib yang juga menjadi sikap kerajaan mengenai Hudud itu. Hari ini sudah masuk 27 Mac bermakna sudah lewat tiga hari.
Biasanya kalau perempuan yang sudah berlaki lewat
datang bulan, itu sebagai tanda-tanda dia akan mengandung. Bagaimana
pula Najib dalam hal ini? Apakah dia juga akan "mengandung".
Apakah Teuku Adnan pandai-pandai membuat pengumuman itu tanpa merujuk kepada Najib. Bahana daripada pembisuan Najib itu menyebabkan dewan rakyat hari ini kecoh bila mana wakil Pas menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Bahrum untuk menyatakan sikap, sebagai mewakili Najib.
Jamil yang hadir berdalih untuk tidak menyatakan sikap kerajaan mengenai Hudud itu sehingga menyebabkan ketua whip Pas, Mahfuz Omar naik minyak sehingga terpaksa dihalau keluar dewan apabila menuduh Jamil yang enggan membuka mulut sebagai bacul.
Wakil rakyat Pas juga marahkan Jamil dan menuduhnya berbohong bila mana Jamil memberitahu perihal Hudud tidak pernah dijanjikan untuk dibawah ke Majlis Raja-Raja, sedangkan sebelum ini Jawatankuasa Teknikal berjanji untuk berbuat demikian. Wakil Pas menganggap Jamil berdolak dalih.
Tampakanya Hudud sudah menjadi masalah kepada banyak orang, dan ia bersilih ganti daripada pihak yang membawanya kepada pihak yang menyatakan sokongan. Gara-gara Hudud habis semua orang terpalit termasuk DAP, PKR, Gerakan, MCA. Hebat penangan Hudud.
Baik Umno atau Pas janganlah main-main dengan hukum Allah. Mungkin keriuhan dan kepanasan Hudud itu disebabkan ada kecenderongan manusia untuk bermain-main dengannya. Mahu menjadikan Hudud sebagai modal politik. Justeru semua pihak perlu sedar dan insaf agar kecelakaan lebih teruk tidak terjadi angkara Hudud ini. Ingatlah kemurkaan Allah.
Berbalik kepada perdana menteri Najib Razak, Hudud makin menyesatkan kepalanya. Belum habis isu GST, 1MDB kini hudud pula datang menabir dalam dirinya. Apakah tompokan segala itu akan membawa Najib untuk berundur dalam kadar segera? Atau pun ia sebagai menambah beban untuk Najib "tidur" Jun nanti seperti mana yang dirangkakan?
Selain perkembangan itu, sorak sorai dari pihak tertentu agar Ketua Polis Negara (KPN), Khalid Abu Bakar dipecat juga turut sama menggaru kepala Najib. Walaupun suara itu hanya dari segelintir minoriti rakyat, tetapi Najib harus memikir sama. Beliau perlu menyelidiki apakah Bukit Aman ada masalah ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan