Air UKM
 
 
 
BANGI - Gangguan bekalan air yang dialami Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 10 tahun lalu bukan masalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), tetapi berpunca daripada pihak universiti sendiri.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata, setakat ini hasil kajian mendapati masalah yang dihadapi penuntut institusi pengajian tinggi berpunca daripada sistem perpaipan yang tidak diselenggara dengan baik.

“Saya menulis kepada pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri. Balasan yang saya peroleh daripada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali adalah masalah ini bukan berpunca dari pihak Syabas. Itu maklumat yang saya terima buat masa ini.

“Beliau (Mohamed Azmin) memang sedar akan masalah yang dihadapi dan dia telah membuat siasatan daripada beberapa pihak. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, kampus ini sering mengalami masalah air kerana isu ‘internal piping’ di UKM. Ini adalah maklumat yang saya terima,” katanya ketika hadir di kampus UKM untuk bertemu dengan pihak pengurusan UKM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UKM derita 10 tahun tak cukup bekalan air]

Kata Kian Ming lagi, beliau juga turut menerima maklumat yang sama dari hasil siasatan yang dijalankan oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping.

Sehubungan dengan itu, beliau akan mengatur satu pertemuan bersama pihak Syabas pada Rabu ini demi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan masalah air yang dihadapi di institut pengajian tinggi berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: UKM jawab pelajar isu tak cukup bekalan air]

“Saya juga akan adakan perjumpaan dengan pihak pentadbiran UKM. Tidak perlu untuk kita tuduh menuduh antara satu sama lain.

“Yang penting kita boleh selesaikan masalah ini. Saya juga akan bawa perkara ini ke Parlimen dan bentangkan kepada Datuk Seri Idris Jusoh  (Menteri Pendidikan) untuk membincangkan perkara ini,” katanya lagi.