HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2015

Isu Klip video BFM: Balas hujah dengan hujah, bukannya kekerasan

zairil

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Ugutan terhadap penyampai BFM Aisyah Tajudin berhubung klip video ‘hudud isi periuk nasi’ adalah sangat melampau dan sama sekali tidak wajar dilakukan, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

“Saya sendiri tidak bersetuju dengan cara penyampaian beliau, namun ia tidak boleh sampai ke tahap mengugut kerana apa yang disampaikan dalam klip video itu sendiri adalah satu satira kepada isu hudud.

“Sepatutnya sesuatu hujah itu harus dibalas dan dijawab dengan hujah juga, bukan dengan cara membuat ugutan rogol atau bunuh,” katanya dalam forum ‘Klip Video BFM: Siapa Melampau? di Ibu Pejabat DAP, malam tadi.

Menurut Zairil, beliau amat kesal ugutan dengan ugutan sedemikian rupa yang dikenakan kepada Aisyah walhal banyak lagi makalah atau tulisan yang lebih teruk tapi tidak pula diberikan perhatian.

Sebagai contoh, kata Zairil, klip video Sembang Rakyat ‘Hudud PAS’ beberapa tahun lalu yang lebih dahsyat dari BFM.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut menggariskan tiga sebab mengapa klip video Aisyah menjadi sensasi.

“Pertama adalah sentimen misogini (misogyny, kebencian terhadap wanita) kerana kebanyakan masyarakat Melayu di negara ini yang bersifat patriarki.

“Kedua, hudud kini sudah menjadi satu isu politik golongan konservatif sama ada dari PAS atau UMNO dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa.

“Ketiga, kita boleh lihat bagaimana pemerintah UMNO yang dulunya melabel PAS sebagai parti ekstrem kini menggunakan isu hudud untuk mengapi-apikan sentimen kaum,” ujarnya.

Mengulas mengenai penolakan DAP terhadap Hudud PAS di Kelantan, Zairil turut menyatakan bahawa selagi perundangan negara masih tempang, Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu tidak boleh dilaksanakan.

“Dalam permasalahan ini, bukan DAP saja yang menolaknya tapi ramai cendekiawan dan ahli akademik yang berpandang serupa. Sebagai contoh Profesor Hashim Kamali.

“Saya juga ingin lontarkan persoalan, dalam keadaan institusi perundangan yang pincang, bolehkah hudud dilaksanakan?” soalnya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: