Demam GST: Macam-macam cara luah rasa
 
 
 
SHAH ALAM - Ketika ramai yang stres memikirkan tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula esok, ada pula yang 'buat lawak' berkenaan sistem percukaian itu.

Menggunakan media sosial sebagai medium berkongsi rasa, kreativiti pelayar terserlah apabila posting nasi kosong ditekap cantik dengan di sebelahnya diletakkan seketul 'paha ayam' daripada nasi kosong juga. Ia kemudian ditambah dengan kapsyen, nasi ayam GST.

Seorang lagi pelayar berkongsi tips untuk berjimat selepas GST dilaksanakan.

“Petua untuk menjimatkan bayaran GST, ketika membeli belah…dijamin berkesan,” tulisnya pada gambar menunjukkan seorang lelaki membeli-belah dengan sebuah troli yang sangat kecil.

Sementara seorang pemilik akaun Twitter 'menyindir' kebaikan sistem percukaian itu dengan berkata,  “Saya sudah bosan hidup miskin, maka saya sokong GST supaya harga barang semua naik, jadi saya boleh berubah kepada papa kedana,” tulisnya.

Pelaksanaan GST esok bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan kadar yang lebih rendah iaitu enam peratus.

Ia merupakan cukai kepenggunaan yang bermaksud cukai hanya akan dikenakan apabila pengguna berbelanja. Ia adalah inisiatif kerajaan untuk menyusun semula sistem percukaian negara.