HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Mac 2015

Shahidan, rakyat Malaysia mahukan jawapan munasabah



Oleh V Shuman 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sering terlibat di dalam memberi kenyataan tak masuk akal dan telah melakukannya sekali lagi.Kali ini beliau memberi justifikasi bagi pembelian jet kerajaan bernilai setengah bilion ringgit dengan  menyatakan “Perdana Menteri berhak berbuat demikian”.

Ini kerana, katanya, wang bagi membeli dan menyelenggara pesawat tersebut datangnya daripada kantung kerajaan.

Err, dari mana datangnya wang dalam kantung kerajaan itu, Shahidan?

Astro Awani melaporkan Shahidan berkata bahawa jet eksekutif ACJ320 yang dibeli kerajaan itu bukan bagi kegunaan peribadi Najib.

“Dakwaan pembangkang bahawa jet itu bagi kegunaan peribadi Najib hanya bertujuan memburukkan imej kerajaan. Apa yang dibelanjakan itu bukannya bagi PM, TPM ataupun Yang Dipertuan Agong.

“Apa yang dilakukan PM adalah di dalam haknya selaku pemimpin negara. Ketua pembangkang mempunyai haknya, dan ketua menteri Pulau Pinang juga punyai hak. Tetapi masalahnya ialah seseorang sering mempersoal urusan seharian kerajaan,” ujar Shahidan yang juga ahli parlimen Arau di lobi Parlimen.


Macamana pula, Shahidan?

Mengapa pula seseorang kerap bertanya soalan yang sama setiap hari sekiranya jawapan yang diberikan memuaskan? Adakah anda mengeluh kerana tiada cara memberi justifikasi bagi pembelian jet itu pada masa ini.

Sekiranya Najib berhak terbang ke sini sana pada bila-bila masa, setiap rakyat Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan negara dan yang membayar cukai tentu punyai hak bertanya dan mendapatkan jawapan munasabah.

Bukankah duit pembayar cukai yang memenuhi kantung kerajaan?

Jika ianya dipenuhi hasil perwarisan daripada keluarga Najib, tentunya rakyat tak campur tangan tetapi jika ianya wang mereka yang digunakan sewenang-wenang, tentunya rakyat berhak bertanya.

Malah sekiranya Najib berhak mendapat keistimewaan selaku pemimpin negara, adakah pembelian dilakukan mengikut saluran sewajarnya?

Seperti contoh, adakah ia dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu, sebelum dinilai semua ahli parlimen dan diluluskan?

Atau mungkin perdana menteri tergesa-gesa menandatangani perjanjian sesuka hatinya sahaja?

Apa gunanya Parlimen dan barisan Kabinet, jika beliau mampu bertindak sendirian?

Lebih mengejutkan ialah pendedahan berterusan dengan dakwaan RM28 juta dibelanjakan bagi menghiasi ruang dalaman pesawat berkenaan.

Ketika ini majoriti rakyat sedang berdepan masa depan kelam dengan kehadiran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

Usaha Shahidan dilihat sebagai komedi, tetapi tolong ingat anda seorang menteri dan bukannya pelawak. Anda mungkin dapat pujian (atau kontrak) kerana lagak membodek tetapi komen dan kenyataan yang tak kena pada tempatnya telah menyebabkan kemarahan rakyat.

Mungkin lain kali sekiranya sukar memberi jawapan, lebih baik diamkan diri.


Tiada ulasan: