THE MALAYSIAN INSIDER
#KitaLawan menafikan dakwaan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang peserta yang menyertai perhimpunan
'duduk bantah' secara aman di Dataran Merdeka malam tadi memulakan
tindakan ganas terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL).
Sekretariat gerakan itu sebaliknya mendakwa, polis yang menggunakan
kekerasan dan bertindak ganas, termasuk memukul dan menarik peserta
secara kasar.
Insiden itu dibuktikan melalui hasil rakaman video saksi yang berada di tempat kejadian, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya rakaman video juga menunjukkan, sebelum insiden itu, peserta
meminta lelaki yang tidak dikenali – dipercayai polis yang tidak memakai
uniform – yang menyerbu ke arah orang ramai menunjukkan kad kuasa
mereka.
Namun, lelaki itu enggan berbuat demikian, katanya.
"Sebaliknya, mereka bertindak ganas dengan menumbuk Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang, serta bertindak kasar dan memukul
orang ramai yang cuba melindungi Chang dan (Adun Simpang Pulai) Tan Kar
Hing."
Kedua-dua Adun itu kemudiannya ditangkap polis bersama 4 aktivis lain
iaitu Michael Tamil, Yong Ming Chong, Gan Zhi Mou dan Chee Chu Sang.
"Selepas ditangkap, Chee terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)
untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan, sebelum dibawa
ke lokap," kata sekretariat itu.
Khalid menerusi akaun Twitternya @KBAB51 mendakwa, 6 peserta #KitaLawan
ditangkap kerana melakukan tindakan ganas dengan memukul penguat kuasa
DBKL.
"PDRM malam tadi menangkap 6 ahli kumpulan haram #KitaLawan di Dataran
Merdeka yang mengganas dengan membelasah Penguatkuasa DBKL. Inikah
perhimpunan aman?" beliau menulis tweet.
Sekretariat mendakwa, kenyataan Khalid itu membuktikan beliau cuba
menipu dan menghasut rakyat di Twitter apabila mendakwa peserta
perhimpunan yang bertindak ganas.
Sebaliknya, bukti jelas menunjukkan peserta berhimpun secara aman tetapi dikasari.
"Kenyataan beliau yang turut menggelar #KitaLawan sebagai 'kumpulan
haram' hanya ingin menutup salah guna kuasa beliau dan menidakkan
desakan suara anak muda.
"Dengan pendedahan penipuan ini, Khalid wajar dipecat dengan segera demi menjaga nama baik dan maruah pasukan polis," katanya.
Katanya, #KitaLawan tidak akan berganjak dan akan terus memperjuangkan isu rakyat walaupun ditekan.
"Kami tidak mampu berdiam diri melihat harta negara terus dirompak
sedangkan rakyat ditindas dan yang berkuasa terus menyalahgunakan kuasa
untuk menghukum dan menyekat rakyat daripada terus bersuara," katanya.
Jelasnya, kekerasan yang digunakan juga seolah-olah untuk menutup suara
rakyat yang menentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan
(GST), namun ugutan dan tindakan kasar itu katanya tidak akan melemahkan
semangat anak muda.
"Sekretariat #KitaLawan mengajak semua untuk bersama hadir pada malam
ini ke Dataran Merdeka untuk Ceramah Rakyat Menentang GST.
"Himpunan #KitaLawan 28.03.2015 akan berjalan seperti yang dijadualkan esok," katanya.
Sementara itu, mereka yang ditahan mengikut Seksyen 186 dan 188 Kanun
Keseksaan di Lokap Polis Jinjang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah
Jalan Duta pukul 2 petang ini untuk pendengaran reman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan