Program Kebajikan Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya menepati objektif, namun pelaksanaan program kurang memuaskan, kata Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri 1.
Laporan yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini menyebut terdapat kelewatan dalam mendaftar dan mengesahkan permohonan serta mengemas kini maklumat pembayaran sumbangan dalam sistem i-Sejahtera.
"Bagi 2012 hingga 2014, semakan terhadap 722 borang permohonan program Penghargaan Warga Emas mendapati 239 atau 33.1 peratus permohonan lewat didaftarkan dalam sistem i-Sejahtera bagi tempoh antara 10 dan 289 hari. Program Bantuan Ibu Tunggal pula, daripada 334 borang permohonan yang disemak, 117 atau 35 peratus lewat didaftar antara tujuh dan 323 hari.
"Bagi program Sumbangan Anak Emas, daripada 246 borang permohonan, 114 atau 46.3 peratus borang permohonan lewat didaftarkan antara tujuh dan 215 hari.
Semakan terhadap 723 borang permohonan Pengurusan Jenazah Warga Emas mendapati
103 atau 14.2 peratus borang permohonan lewat dikemas kini status kematian antara tujuh dan 70 hari," kata laporan itu.
Menurut laporan itu, kelewatan mendaftar borang permohonan dalam sistem i-Sejahtera disebabkan tempoh masa mendaftar permohonan tidak ditetapkan dalam garis panduan, menyebabkan nama pemohon tidak sempat didaftar dan terkeluar daripada senarai penerima yang layak untuk tempoh berkenaan.
Laporan itu berkata semakan terhadap 151,523 data permohonan bagi tempoh 2012 hingga 2014 mendapati 36,080 atau 23.8 peratus pendaftaran lewat disahkan oleh pegawai pengesah.
Kelewatan pengesahan permohonan berlaku kerana kurang pemantauan oleh pegawai atasan selain tempoh masa pengesahan permohonan yang tidak ditetapkan dalam mesyuarat penyelarasan program atau garis panduan.
"Perkara ini boleh mengakibatkan nama pemohon tidak disenaraikan untuk menerima sumbangan walaupun pemohon layak menerima sumbangan pada tahun berkenaan," kata laporan itu.
Laporan itu turut mendapati daripada 3,941 permohonan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi 2012 hingga 2014, 306 atau 7.8 peratus telah diterima selepas tarikh 'cut off' dan tidak diproses untuk bayaran.
Semakan Audit turut mendapati Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) lewat mengutip baki wang sumbangan antara tempoh tiga dan 38 hari yang menyebabkan sejumlah RM1.01 juta lewat diakaunkan ke akaun kerajaan negeri.
Laporan Ketua Audit Negara berkata 302,266 maklumat pembayaran turut lewat dikemas kini oleh PDT dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang melebihi 14 hari tarikh pembayaran.
"Bagi tahun 2012 daripada 104,616 pembayaran; 98,382 maklumat pembayaran atau 94 peratus lewat dikemas kini. Bagi tahun 2013, sebanyak 115,674 atau 88.1 peratus daripada 131,347 pembayaran lewat dikemas kini.
"Bagi 2014 pula daripada 102,490 pembayaran; 88,210 maklumat pembayaran atau 86.1 peratus lewat dikemas kini. Kelewatan ini boleh mengakibatkan risiko berlakunya pembayaran berganda," menurut laporan itu.
Laporan itu turut mengesyorkan supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang dan PDT menambah baik garis panduan program kebajikan i-Sejahtera dalam aspek permohonan, pendaftaran, pembayaran, keselamatan wang tunai dan pengembalian wang sumbangan yang tidak dapat diagihkan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan