PKR menerima kerjasama yang baik daripada rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh bulan depan, kata Mohamed Azmin Ali, sekaligus menafikan dakwaan parti yang akan bertanding itu tidak menerima sokongan daripada PAS dan DAP.
Timbalan presiden itu berkata, setakat ini sokongan rakan sekutu PKR disifatkan amat baik dan meyakinkan, dibuktikan dengan kehadiran pimpinan tertinggi PR yang memberi jaminan akan memastikan kemenangan kepada gabungan itu dalam PRK Permatang Pauh.
"Dokongan rakan-rakan PR cukup meyakinkan," kata menteri besar Selangor itu pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah dan rumah Selangorku di Kampung Jawa, Klang hari ini.
"Ketika melancarkan jentera tiga malam lalu, kita melihat kehadiran pimpinan tertinggi PAS dan DAP menyatakan sokongan terbuka dan akan berkerja kuat untuk menjamin kemenangan PR,"
katanya.
Majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK Permatang Pauh pada 14 April diadakan tanpa penglibatan pemimpin tertinggi PAS Pusat yang hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.
Sedangkan ia dihadiri kesemua pemimpin tertinggi PKR dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Ketika berucap, Mujahid berkata timbalan presiden PAS merangkap Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Sabu, tidak dapat hadir pada majlis tersebut berikutan alasan yang tidak dapat dielakkan.
Pada masa sama, Azmin turut menolak kenyataan Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad yang PKR mungkin akan menghadapi protes secara senyap daripada pengundi, termasuk PAS, jika ia mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau ahli keluarganya.
"Itu hanya suara individu," katanya sambil berkata PKR sudah mengenalpasti calon untuk kerusi itu yang bakal diumumkan kelak.
Ditanya sekiranya calon yang dimaksudkan Azmin itu merujuk Dr Wan Azizah, beliau dengan nada sindiran mengatakan individu itu seorang warganegara Malaysia, mempunyai kad pengenalan yang sah, serta ahli PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April serta 3 Mei sebagai hari pengundian awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan