Ramlah Adam
SHAH ALAM - Perhimpunan secara aman bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah meskipun ia diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, pendekatan berhimpun di jalanan kini tidak mencerminkan sesuatu yang positif apabila peserta mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras untuk menimbulkan provokasi.
"Ini satu pendekatan yang sudah masuk dalam buku sejarah kita, ia tidak berapa baik sebab cara kita menyatakan pendapat kerana banyak lagi cara mengikut undang-undang.
"Imej negara terjejas, bila ada isu politik, mereka berhimpun di jalanan, itu menunjukkan demokrasi di Malaysia tak cukup lagi. Walaupun bersuara itu boleh dinyatakan secara aman dan tenteram, tapi kenyataan mereka di jalanan itu dinyatakan secara keras, banyak kemusnahan," katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.
Dr Ramlah juga berkata, penganjuran demonstrasi pada hari ini jauh berbeza dengan zaman 70-an, di mana ia tidak berlarutan sehingga bersiri seperti Bersih 1.0, 2.0, 3.0 dan 4.0 susulan segala tuntutan diselesaikan dengan cara baik bersama pemimpin negara.
"Zaman saya, mereka demo sekali, kemudian berunding dengan pemimpin, dan pemimpin terima pandangan mereka dan akhirnya mereka setuju.
"Ketika itu demonstrasi untuk tujuan positif misalnya untuk menambahkan pembangunan luar bandar, atau menambah pendidikan orang Melayu, itu positif, ia tak melarat, seperti Bersih sampai empat kali," jelasnya.
Beliau berkata lagi, sejarah menunjukkan tujuan demonstrasi diadakan sebagai salah satu cara untuk memaksa kerajaan memenuhi permintaan mereka.
"Memang betul zaman dulu pun ada (demonstrasi), tapi ia tidak sampai merosakkan harta benda.
"(Kini), ia dimulakan oleh pembangkang, khususnya kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak dia nak kuasa politik, maka demonstrasi dilaksanakan sekali lagi dan sekarang jadi pendekatan politik," ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Ramlah turut berkata, orang ramai perlu diberikan pendidikan dan pendedahan tentang saluran betul untuk menyatakan pandangan agar tidak melanggari undang-undang negara.
"Kita tahu ia (demonstrasi) bukan jalan terbaik untuk menyatakan pendapat mereka, dan itu bukan satu cara terbaik untuk kita turunkan kerajaan atau sebagainya.
"Saya sedar manusia ini perangai macam-macam, malah semakin menular sikap biadab tak peduli undang-undang, malah rukun negara juga tolak tepi," tegasnya.
Beliau turut tidak menolak demonstrasi boleh diadakan selagi mana ia mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tidak mengancam ketenteraman awam.
"Kalau dia tak lakukan kekerasan, kekejaman, mencederakan orang, merosakkan harta benda, perhimpunan itu boleh dibuat mengikut Perlembagaan.
"Saya harap ia tidak jadi satu trend dalam politik Malaysia, kalau jadi trend, ia akan diikuti orang ramai...kalau tunjukkan ego masing-masing, negara kita akan hancur.
"Masalah perkauman juga boleh timbul, nanti masalah negara kita nampak perkauman, jadi saya yang penting orang Malaysia mesti sabar dan patuh kepada undang-undang," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan