KUALA LUMPUR,  Kebanyakan masyarakat menolak Himpunan Gerakan Merah yang dijadualkan akan diadakan di Jalan Petaling hari ini.


Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Asharuddin Ahmad berkata pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu juga tidak bersetuju dengan penganjuran himpunan seumpama itu.

Menurutnya, perkara tersebut dibuktikan apabila tidak ada pun mereka yang dikatakan ingin berhimpun hadir ke Jalan Petaling.

“Perkara ini tidak bagus untuk perpaduan masyarakat di negara ini kerana kebanyakan orang Melayu, India dan Cina mahu hidup dalam suasana harmoni.

“Jadi tidak perlu ada ancaman perkauman seperti ini sebaliknya perlu membantu kerajaan dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom menyatakan bahawa himpunan berkenaan dibatalkan selepas pihak berkuasa menyarankan berbuat demikian.

Malah, Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos turut ditahan polis semalam di bawah Akta Hasutan berikutan kenyataannya berkenaan kemungkinan akan berlaku perhimpunan hari ini.

Tambah Asharuddin lagi, beliau menyifatkan penahanan tersebut sebagai satu tindakan yang wajar.

Jelasnya, Jamal merupakan satu ancaman ke atas hubungan antara kaum di negara ini.

“Oleh itu, sesiapa sahaja yang memberi ancaman tersebut perlu diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” ujarnya.