RAJINA DHILLON
Gobi berkata, PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan tidak boleh menjaga kepentingan masyarakat India.
KUALA LUMPUR, Parti NewGen yang baru ditubuhkan mahu menyertai Pakatan Harapan (PH), bagi menjaga kepentingan masyarakat India.
Setiausaha Agungnya, S. Gobi Krishnan
berkata, tiada lagi parti sedemikian dalam pakatan pembangkang yang
boleh menjaga kepentingan kaum lain.
Jelasnya, walaupun tiga parti dalam
Pakatan Harapan adalah parti berbilang bangsa, namun PKR dan Parti
Amanah Negara (Amanah) didominasi orang Melayu yang akan menjaga
kepentingan masyarakat Melayu, manakala DAP pula dikuasai pemimpin Cina
yang menjaga kepentingan kaum Cina.
“Jadi, siapa yang akan menjaga kepentingan orang India dalam Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan?
“Sudah diketahui umum bahawa ramai orang
India menyertai PKR pada 2008 yang akhinya menyedari PKR tidak mampu
menjaga kepentingan masyarakat India.
“Memang difahami PKR hanyalah Umno mini, dengan majoriti pimpinannya di bawah penguasaan ahli politik Melayu.
“Sekarang ada kekosongan untuk orang
India. Inilah peluang Parti NewGen mengisi kekosongan itu dan
memperjuangkan isu yang dihadapi masyarakat India,” kata bekas
Setiausaha Biro Strategi dan Dasar PKR itu dalam satu kenyataan.
Gobi meninggalkan PKR pada Januari 2013.
Gobi menjelaskan, NewGen menyasarkan
untuk merampas Melaka daripada Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya
Umum (PRU) akan datang.
“Kumpulan pemikir pilihan raya kami telah mengkaji keadaan di negeri itu dan merancang strategi merampas Melaka daripada BN.
“Kami akan meletakkan calon-calon
berbilang bangsa yang akan mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang
sudah tentu akan memenuhi keperluan semua kaum.
“Parti NewGen akan memberi saingan sengit kepada BN, pada PRU akan datang,” katanya.
Gobi juga pernah menjadi ahli eksekutif Pemuda MIC Selangor, dari 2003 hingga 2006.
Gobi dilaporkan meninggalkan PKR untuk
menubuhkan NewGen pada Ogos 2013, dengan alasan dia tidak boleh
melakukan perubahan yang dikehendakinya dan mahu menetapkan standard
baru dalam politik negara.
Dia juga dilaporkan sebagai berkata,
parti baru itu menyasarkan generasi muda berbilang bangsa dan pada masa
sama, membuka pintu untuk menjalin kerjasama dengan BN dan Pakatan
Rakyat, ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan