KUALA LUMPUR, Polis memberi jaminan keselamatan di ibu kota adalah terkawal, di sebalik nasihat perjalanan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, kononnya terdapat ancaman pengganas di lokasi tertentu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa memberi jaminan itu, susulan nasihat perjalanan yang dikeluarkan kedua-dua negara itu kepada rakyat mereka, supaya mengelak ke Jalan Alor, di Bukit Bintang, kerana serangan pengganas mungkin berlaku.

“Apa jua bentuk kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat yang berkaitan ancaman keselamatan negara, polis ambil serius dan tidak memandang ringan,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Khamis malam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat perkara berkenaan dan berjumpa dengan Kedutaan AS untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Terdahulu, Kedutaan AS melalui akaun Twitternya memberi amaran kepada rakyatnya supaya mengelakkan Jalan Alor, kerana mendakwa menerima maklumat boleh dipercayai berhubung kemungkinan berlaku serangan pengganas.

Untuk lokasi lain, kedutaan itu mengingatkan rakyatnya supaya berwaspada terhadap keselamatan diri.

“Sebelum ini, organisasi pengganas pernah merancang melancarkan serangan-serangan sempena tarikh penting dalam kalender.

“Justeru, warga AS perlu sentiasa berjaga-jaga ketika menggembara, rakyat AS di luar negara mungkin menjadi sasaran kumpulan-kumpulan ekstrimis, tidak kira di mana mereka berada,” demikian menurut mesej yang dimuat naik ke laman Twitternya.

Channel News Asia pula melaporkan, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia turut mengeluarkan nasihat perjalanan sama kepada rakyatnya.

“Disebabkan mungkin berlaku serangan pengganas, rakyat Australia dinasihat mengelakkan ke Jalan Alor di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya pada Khamis, 24 September.

“Ini berdasarkan amaran yang dikeluarkan Kerajaan AS pada 24 September,” demikian kenyataan yang dimuat naik kerajaan Australia ke laman web Smart Traveller.

Bagaimanapun, sehingga tengah malam tadi, tiada laporan diterima berhubung sebarang kejadian tidak diingini berlaku di Jalan Alor.